Saturday 11 May 2013

Dai'e Tidak Rasmi


Assalaamualaikum,
Allahuma Solli ‘Ala Sayidina Muhamad.

            Kaifa haluk? Mesti ramai pembaca tertanya-tanya dengan apakah yang dimaksudkan dengan tajuk penulisan blog kali ini. Daie tidak rasmi boleh diertikan sebagai individu yang berkongsi pesanan, ilmu dan nasihat. Pasti ramai yang telah menjadi Daie Tidak Rasmi, sama ada dalam facebook, blog, instagram dan  banyak lagi di dalam laman sosial.  Namun berapa ramai di antara kita yang ikhlas untuk berkongsi pesanan dengan hati yang ikhlas? Atau kita hanya sekadar hendak menggambarkan diri seorang yang alim atau ‘perasaan baik’ atau dalam erti kata lain, riyak.

            Dalam sebuah buku bertajuk Riya’ The Hidden Syirik, menunjukkan riyak berasal daripada perkataan “ raa’a ” yang bermaksud untuk melihat, dilihat dan memandang. Perkataan riyak dari sudut istilah bermaksud hipokrasi, memperdaya, melakukan sesuatu hanya apabila ada orang melihat, sementara dari sudut syariah pula bermaksud melakukan sesuatu bertujuan untuk memuaskan hati orang lain selain daripada Allah.

            Niat yang tidak ikhlas seperti mahukan pujian orang ramai menatijahkan sesuatu perbuatan bukan kerana Allah. Antara contoh riyak yang paling tepat ialah memperelok solat ketika bersama orang lain tetapi dilakukan bersama orang lain tetapi dilakukan sambil lewa apabila bersendiri.

            Ibn Qayyim al-Jawziyah berkata: “ Perbuatan (niat) dari hati asas kepercayaan dan perbuatan daripada anggota badan menyempurnakan. ”  Ilmu untuk mengenali niat hati lebih penting daripada perbuatan tubuh badan. Penyembahan yang dilakukan oleh hati lebih besar dan utama daripada penyembahan yang dilakukan oleh anggota badan. Oleh itu, setiap perkara yang kita lakukan mestilah dimulakan dengan niat kerana Allah, bukan untuk meraih pujian daripada manusia lain.

            Sebagai contoh, menunaikan solat tanpa niat di hati seperti badan yang mati. Oleh sebab itu, niat dihati berkait rapat dengan riyak. Dan setiap perbuatan kita diadili berdasarkan niat. Setiap insan perlu menyoal diri sendiri ( bukan menyoal niat orang lain) amat penting dan perlu diberi keutamaan bagi setiap Mukmin. Imam al-Nawawi turut memilih hadis mengenai kepentingan niat sebagai permulaan dan pembukaan dalam bukunya menunjukkan peri pentingnya ketetapan niat.

            Para salafussoleh dan umat Islam terdahulu menyedari kepentingan niat yang ikhlas dan baik. Sufyan al-Thauri, seorang alim yang berasal dari Kufah dan meninggal dunia di Basrah pada 777 SM pernah berkata: “ Tiada yang lebih sukar bagiku daripada memperbetulkan niatku kerana ia sentiasa berubah. “

            Antara perkara yang boleh kita lakukan ialah memberi nasihat. Walaupun kita banyak dosa dan tidak sempurna, proses saling mengingatkan orang lain perlu berlaku. Memberi nasihat bukanlah bererti “ kita semuanya betul ” atau “ kita seorang saja yang baik ”. Seolah-olah menggambarkan hanya orang yang sempurna dan alim saja yang boleh menasihati orang. Menurut  Abu Ammar Yasir al-Qathi, pandangan itu daripada bisikan syaitan.

            Setakat ini saja perkongsian untuk kali ini. InshaAllah, sekiranya diberikan peluang untuk berjuang di medan dakwah ini, kita akan bertemu lagi di lain lembaran. Sebelum menutup perkongsian kali ini. bersama-samalah kita memperbetulkan niat kita. Jangan semua perbuatan yang kita lakukan hanya untuk meraih pujian ataupun sanjungan daripada manusia, sebaliknya berniat kerana Allah.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah berkata, Umar bin Al-Khattab R.A berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“ Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan sampai kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehinya dan menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya. “ ( H.R Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Al-Tarmizi, Al-Nasa’i, Ibn Majah dan Ahmad )

Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad,
Wallahu ‘Alam,
Ilalliqa’ ~ J ~

No comments:

Post a Comment