Thursday 26 June 2014

Aku, Mereka, dan Usrah ( Bab 1 : Langkah Permulaan



Assalaamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad, Wa ‘Ala Ali Sayidina Muhammad.

            USRAH. Satu medan dakwah yang telah menguatkan langkahku untuk berada di jalanNya, meneruskan perjuangan Kekasih Tercinta, Rasulullah SAW, mengikuti jejak langkah Imam Hassan Al – Banna. Bersama sahabat yang lain, memperjuangkan syiar Islam di sekolah tercinta, SMK Batu Sapi. Di sekolah itulah kami di didik dan diajar untuk mendekati Islam. Dipendekkan cerita, untuk entri blog kali ini, penulis akan menceritakan serba sedikit mengenai usrah dan pengalaman berada dalam usrah itu sendiri.


“ John, kau dan si Nidzamlah yang buat usrah. Boleh tu, aku yakin dengan kamu dua.” Kata sahabat baikku, Nadjar.

“ Eya John, ramai tu yang mahu kenal dan ikut usrah , ” Kata kembar si Nidzam, Faidzal

“ Isshh, tak mahulah. Tidak mampu kami mau kendalikan usrah. Belum lagi layak sebenarnya, ” Jawab Nidzam.

“ Eya, betul tu cakap si Nidzam. Apa jak la yang kami tahu. Kalau mahu di bandingkan aku dan si Nidzam dengan kau, Faidzal dan Fikri, memang jauh ketinggalan bha kami nie Nadjar ” Jawabku kepada Nadjar .

“ Belum cuba belum tahu lagi,” Jawab Fikri.

“ Tengoklah macam mana bha, ” Jawab Nidzam

            Perbualan kami ketika berada di Tingkatan Lima Bestari merupakan saat paling tidak boleh dilupakan sehingga sekarang. Trio bertiga, Nadjar, Faidzal, dan Fikri yang mencadangkan kepada kami berdua, iaitu Aku dan Nidzam, untuk menyambung kembali usrah yang telah lama menyepi di sekolah kami. Pada mulanya, kami memang keberatan untuk menghidupkan semula usrah di sekolah kami. Sebabnya, kalau mahu dibandingkan Aku dan Nidzam dengan Trio bertiga itu, kata orang macam langit dan bumi. Mereka bertiga sememangnya mempunyai pengetahuan agama yang lebih luas lagi berbanding kami berdua. Jika mahu dibandingkan Aku dan Nidzam pula, ibarat awan dan tanah, meskipun tak sehebat Trio Bertiga tu, sekurang-kurangnya Nidzam juga mempunyai pengetahuan agama yang lebih berbanding aku. Meskipun hubungan kami berlima memang tersangatlah rapat, aku kadangkala terasa seperti  jauh ketinggalan oleh mereka berempat. Setakat menumpang nama saja dengan mereka.

            Lebih kurang dua tahun kemudian, kami berlima berada di Tingkatan Enam Atas dan berada di kelas yang sama. Ukhuwah yang terjalin keranaNya, takkan terpisah keranaNya. Aku sendiri pun hairan, walaupun banyak ujian yang menguji hubungan persahabatan kami namun sedikitpun tidak menjejaskan hubungan kami berlima. Masih Aku ingat lagi, saat Aku dan Nadjar bertelagah disebabkan perbezaan pendapat dalam kumpulan pembentangan kami. Hampir tiga hari kami langsung tak bertegur sapa, tapi akhirnya berbaik semula. Kalau dikenangkan semula, memang mencuit hati kerana disebabkan masalah kecil saja, langsung tidak mahu bertegur sapa, duduk pun jauh – jauh lagi masa dalam perbincangan dalam kumpulan.

            Kem Remaja Islam 2013 ( KRIS ). Permulaan bagiku sebelum mula menjejaki dalam dunia usrah. Masih teringat lagi masa mula – mula menjadi Fasilitator KRIS, memang sedikit gementar, gemuruh dan takut. Semua perasaan bercampur gaul. Ini semua disebabkan si Nidzam (hehe) . Dialah yang mencadangkan namaku sebagai salah seorang AJK dalam KRIS. Nadjar dan Faidzal juga turut menyokong untuk aku turut menjadi Fasilitator KRIS seperti mereka berempat. Terdetik juga di hati, “ Bolehkah Aku menjadi fasi dalam program ini. Berdiri sebaris dengan mereka. Pengalaman pun tiada, lainlah kalau mahu dibandingkan dengan Nadjar, Nidzam, Fikri dan Faidzal, keupayaan mereka memang tidak dapat diragukan lagi. Kalau soal pengetahuan agama, lagilah tidak boleh dipersoalkan.” Namun, langkah tetap ku gagahi, meskipun pertama kali bergelar Fasi. Masih Aku ingat lagi siapa adik – adik dalam kumpulanku. Antaranya, Mazwan, Jalaludin, Aduqa, Saharul, Azri, Akher dan seorang lagi yang Aku tidak ingat namanya ( hehehe ). Ada antara mereka yang bergelar adik usrah kami sekarang. Siapakah mereka ? Akan diberitahu pada bab yang seterusnya.

            Selepas berakhirnya KRIS, Nidzam telah menunjukkan minat untuk menubuhkan usrah dengan syarat Aku bersama dengan dia. Bersama – sama menghidupkan usrah semula. Nadjar dan  Fikri juga turut memberikan galakan kepada kami untuk menghidupkan semula usrah yang telah lama menyepi di sekolah kami. Nidzam juga turut memberikan idea yang ‘bernas’ dengan mencadangkan Aku untuk menjadi Naqib. Sahabat yang lain juga turut setuju dengan cadangan itu. Tetapi Aku tidak bersetuju. Jawatan Naqib bukanlah seperti jawatan Ketua Kelas atau Ketua Pustakawan yang Aku pegang pada masa itu. Pada fikiranku, Nidzam lagi sesuai untuk menjadi Naqib berbanding diriku yang serba kekurangan dan jahil ini. Tiada kata sepakat yang dicapai pada masa itu. Masing – masing tidak mahu menjadi Naqib. Akhirnya, idea untuk menghidupkan semula usrah di sekolah terhenti untuk seketika.




Bersambung…


















Tuesday 10 June 2014

Paku Yang Lekat Di Hati


Bismillahirahmanirrahim ,
Assalaamualaikum w.b.t ,
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad .

            Alhamdulilah setelah sekian lama menyepi, blog ini telah kembali hidup untuk berkongsi cerita dan input-input yang berguna serta dapat dapat menyedarkan kita untuk kembali ke jalanNya. Untuk perkongsian kali ini, penulis akan berkongsi sebuah cerita berkenaan hati. Sebelum itu, sediakan hati yang siap untuk ditarbiyah dan jangan lupa ‘setting’ niat.

PAKU YANG LEKAT DI HATI

            “ Jangan suka menyakiti hati orang lain dengan kata – kata kita,” nasihat seorang ibu kepada anaknya.
            “Saya tahu itu salah,ibu. Tapi, saya akan cepat meminta maaf. Itu satu kelebihan juga bu,” balas si anak.
            “ Tetapi perbuatan kamu itu menyakitkan hati orang , anakku,” kata si ibu itu lagi.

            “ Saya rasa tidak. Selepas meminta maaf , segala-galanya langsai, ibu,” kata si anak.

Si ibu berfikir. Apakah cara untuk menyedarkan anaknya daripada sifat buruk ini ?

            “ Kalau begitu, kamu ikut cadangan ibu ini. Moga kamu akan fahami maksud ibu nanti.”

Tanpa membantah si anak bersetuju dengan cadangan itu.

            “ Begini, setiap kali kamu menyakiti hati seseorang, kamu ketuk sebilah paku ke dinding ini. Kemudian setelah kamu meminta maaf, kamu cabut semula paku yang kamu ketuk itu.”

            “ Baik, bu.”

Beberapa bulan berlalu, mereka sama- sama menghadap dinding tersebut.

            “ Lihat ibu, mana ada paku yang tinggal?” Ujar si anak dengan bangga. “ Semuanya telah dicabut. Memang ramai orang yang saya sakiti hati mereka, tetapi semua telah memaafkan saya setalah saya meminta maaf.”

            “ Betul kamu sudah minta maaf dan mereka telah memaafkan, tetapi sedarkah kamu..?”

            “ Maksud ibu ?”

            “ Cuba kamu tengok dinding ini. Semuanya sudah berlubang, bercalar dan “berkematu”. Itulah hati-hati yang telah kamu sakiti. Walaupun kamu sudah dimaafkan. Tetapi kesan perbuatan buruk itu masih berbekas di hati mereka. Hati yang dilukai ada parutnya, anakku…”

Si anak merenung dinding yang berlubang-lubang itu. Sudah tidak indah lagi seperti asalnya. Begitukah hati-hati yang telah aku sakiti?

***

Begitu kisah yang dapat memberi kita kesedaran betapa pentingnya untuk menjaga perasaan orang lain. Meminta maaf satu perbuatan yang terpuji, tetapi menjaga hati orang lain agar tidak terluka dengan perangai adalah jauh lebih terpuji. Semoga pengisian kali ini dapat memberi sedikit pengajaran dan dapat membantu kita untuk berubah untuk menjdai yang lebih baik lagi.