Tuesday 10 June 2014

Paku Yang Lekat Di Hati


Bismillahirahmanirrahim ,
Assalaamualaikum w.b.t ,
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad .

            Alhamdulilah setelah sekian lama menyepi, blog ini telah kembali hidup untuk berkongsi cerita dan input-input yang berguna serta dapat dapat menyedarkan kita untuk kembali ke jalanNya. Untuk perkongsian kali ini, penulis akan berkongsi sebuah cerita berkenaan hati. Sebelum itu, sediakan hati yang siap untuk ditarbiyah dan jangan lupa ‘setting’ niat.

PAKU YANG LEKAT DI HATI

            “ Jangan suka menyakiti hati orang lain dengan kata – kata kita,” nasihat seorang ibu kepada anaknya.
            “Saya tahu itu salah,ibu. Tapi, saya akan cepat meminta maaf. Itu satu kelebihan juga bu,” balas si anak.
            “ Tetapi perbuatan kamu itu menyakitkan hati orang , anakku,” kata si ibu itu lagi.

            “ Saya rasa tidak. Selepas meminta maaf , segala-galanya langsai, ibu,” kata si anak.

Si ibu berfikir. Apakah cara untuk menyedarkan anaknya daripada sifat buruk ini ?

            “ Kalau begitu, kamu ikut cadangan ibu ini. Moga kamu akan fahami maksud ibu nanti.”

Tanpa membantah si anak bersetuju dengan cadangan itu.

            “ Begini, setiap kali kamu menyakiti hati seseorang, kamu ketuk sebilah paku ke dinding ini. Kemudian setelah kamu meminta maaf, kamu cabut semula paku yang kamu ketuk itu.”

            “ Baik, bu.”

Beberapa bulan berlalu, mereka sama- sama menghadap dinding tersebut.

            “ Lihat ibu, mana ada paku yang tinggal?” Ujar si anak dengan bangga. “ Semuanya telah dicabut. Memang ramai orang yang saya sakiti hati mereka, tetapi semua telah memaafkan saya setalah saya meminta maaf.”

            “ Betul kamu sudah minta maaf dan mereka telah memaafkan, tetapi sedarkah kamu..?”

            “ Maksud ibu ?”

            “ Cuba kamu tengok dinding ini. Semuanya sudah berlubang, bercalar dan “berkematu”. Itulah hati-hati yang telah kamu sakiti. Walaupun kamu sudah dimaafkan. Tetapi kesan perbuatan buruk itu masih berbekas di hati mereka. Hati yang dilukai ada parutnya, anakku…”

Si anak merenung dinding yang berlubang-lubang itu. Sudah tidak indah lagi seperti asalnya. Begitukah hati-hati yang telah aku sakiti?

***

Begitu kisah yang dapat memberi kita kesedaran betapa pentingnya untuk menjaga perasaan orang lain. Meminta maaf satu perbuatan yang terpuji, tetapi menjaga hati orang lain agar tidak terluka dengan perangai adalah jauh lebih terpuji. Semoga pengisian kali ini dapat memberi sedikit pengajaran dan dapat membantu kita untuk berubah untuk menjdai yang lebih baik lagi. 


No comments:

Post a Comment