Saturday 29 June 2013

Persiapan Ramadhan ^^

Assalaamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad, Wa ‘Ala Ali Sayidina Muhammad.

Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (ramadhan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa. – (Q.S Al Baqarah: 183)

Sahabat rahimakumullah, Ramadhan yang kita nanti-nantikan selama ini akhirnya hendak berada di kemuncaknya. Alhamdulillah, bersama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT mempertemukan kita dengan bulan Ramadhan (bulan yang mulia rahmat berlimpah lagi pahala dilipatgandakan), insyaAllah. Berpuasa adalah aktiviti terpenting dalam bulan ini. Persoalannya, bagaimanakah tips-tips yang diajar oleh Rasulullah SAW untuk puasa kita dinilai tinggi oleh Allah? Mari kita telusuri satu persatu. 

Rasulullah SAW Bersahur:-

Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk bersahur sebelum aktiviti menahan diri dari makan dan minum di siang hari dimulakan. Bagaimana Rasulullah SAW bersahur? Bersahur bukanlah dilakukan di tengah malam, tetapi ia dilakukan di awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Bersahur juga memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa. Rasulullah SAW bersabda:

Dari Anas Bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan.” - (HR: Bukhari)

Rasulullah SAW juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari ciri-ciri bersahur orang Islam. Sabdanya:

“Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur.” - (HR: Muslim)

Rasulullah SAW Menyegerakan Berbuka:-

Tidak melewat-lewatkan berbuka puasa adalah salah satu tips berpuasa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Hal ini demikian kerana, perbuatan itu sangat mendatangkan kebaikan untuk mereka yang menahan diri dari makan dan minum.

Rasulullah SAW di dalam hadithnya menerangkan kepada kita seperti mana yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim:

“Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa.”

Perbuatan melambat-lambatkan berbuka puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah SAW. Masyarakat kita sering melihat perkara ini sebagai satu isu remeh. Apa yang terjadi dalam rata-rata masyarakat kita di Malaysia, ketika masuknya waktu solat maghrib (waktu untuk berbuka puasa), mereka masih lagi berada di bazaar-bazaar ramadhan untuk membeli juadah mereka. Penjual juga masih lagi melayan pelanggan tanpa terus berbuka walaupun azan maghrib telah berkumandang. Ibu-ibu di rumah pula masih berada di dapur menyiapkan juadah berbuka puasa ketika azan maghrib bergema. Hal Ini demikian kerana melewat-lewatkan berbuka puasa adalah amalan Yahudi dan Kristian.

Persiapan seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan Rasulullah SAW untuk kebaikan umatnya dapat diamalkan sebaiknya. Rasulullah SAW telah bersabda dalam satu hadithnya yang diriwayatkan oleh Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani RH: 

“Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, hal ini demikian kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya.”

Dikeluarkan dari Musannaf Abdul Razzak dan Fathul Bari (kitab syarah sahih Bukhari) ‘Amr Bin Maimun RH berkata: 

“Sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah manusia yang paling cepat (ketika) berbuka puasa dan yang paling lewat (ketika) bersahur.”

Dari Abi ‘Atiyyah katanya: Aku dan Masruq telah bertemu Ummu al-Mu’minin RA dan kami berkata kepadanya, “Dua orang lelaki dari sahabat Muhammad SAW, salah seorang darinya mempercepatkan berbuka dan mempercepatkan solat, manakala seorang lagi melewatkan berbuka dan melewatkan bersolat.” Ummu al-Mu’minin berkata, “Siapakah di antara mereka berdua yang mempercepatkan berbuka dan menyegerakan bersolat?” Kami berkata, “Abullah iaitu Ibn Mas’ud.” Kata (Ummu al-Mu’minin), “Perbuatan (menyegerakan berbuka) itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.”

Berbuka Dengan Beberapa Biji Kurma:-

Antara kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW adalah memulakan memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Ini untuk memudahkan dirinya bersolat dalam keadaan tidak terlalu kenyang. Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi katanya:

“Rasulullah SAW apabila Baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dengan kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air.”

Ini adalah sunnah Rasulullah SAW. Ramai di antara kita yang sering meninggalkan sunnah ini. Mereka menyegerakan berbuka puasa serta makan dan minum sehingga kekenyangan lalu melewatkan bersolat maghrib. Rasulullah SAW makan dengan beberapa biji kurma, kemudian bersolat. Apabila Rasulullah SAW berasa lapar, Rasulullah SAW makan selepas Baginda solat.

Tidur Qailulah:-

Nabi SAW mengajarkan kepada kita agar sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat pada malamnya. Antara kaedah yang diajar oleh Rasulullah SAW adalah dengan tidur sebentar sebelum solat zohor, perbuatan itu dinamakan dengan Qailulah. Ini untuk memudahkan kita bangun di waktu malam mengerjakan amal ibadat.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:

Dari Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam.”

Apa yang terjadi hari ini pada sesetengah masyarakat kita, mereka tidak menerapkan sunnah ini bahkan perbuatan mereka menyalahi sunnah ini. Mereka terutama anak-anak muda menghabiskan waktu siangnya dengan tidur sepanjang hari dan hanya bangun untuk berbuka puasa sahaja. Berpuasa bukanlah bulan tidur kerana keletihan. Puasa adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana padanya pahala dilipatgandakan.

Menjaga Lidah:-

Terlalu rugi jika kita berpuasa, tetapi tidak mendapat sedikit pun pahala dari amalan tersebut. Akibatnya, kita hanya mendapat lapar dan dahaga. Antara faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana tidak menjaga lidah. Mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha juga dilakukan ketika berpuasa.

Umumnya perbuatan ini adalah perbuatan haram untuk dilakukan walaupun bukan pada bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Tabarani:

“Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala).”

Rasulullah SAW bersabda lagi dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

“Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata "Saya berpuasa".”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi sepertimana yang diriwayatkan oleh Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie & Ibn Majah:

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak menghentikan percakapan dusta dan terus melakukannya, maka Allah SWT tidak mempunyai hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan minumnya.”

Memberi Makan Orang Yang Berpuasa:-

Antara amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW untuk meningkat neraca kita adalah dengan cara menginfakkan sedikit harta dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa. Terlalu besar ganjarannya seperti yang diberitahu Rasulullah SAW dalam hadith-hadith Baginda yang mulia. Antaranya ialah seperti yang diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Ibn Majah:

“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun daripadanya.”

Bagi mereka yang dijemput untuk berbuka puasa bersama, wajib baginya untuk memenuhi undangan tersebut. Ha ini demikian kerana, berbuatan membelakangi undangan tersebut dicela oleh Rasulullah SAW dan ianya seoalah-olah telah menentang Rasulullah SAW.

Adalah sunnah mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa. Antara doa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW adalah seperti berikut:

§  Ya Allah, berilah makan orang yang memberiku makan, dan berilah minum orang yang memberiku minum. - (HR: Muslim)
§  Ya Allah, ampunkanlah mereka, rahmatilah mereka dan berkatilah apa yang telah kau rezekikan kepada mereka. - (HR: Muslim)

Berdoa Ketika Berbuka Puasa:-

Nabi SAW memberitahu kepada kita bahawa berdoa ketika berbuka puasa adalah mustajab berdasarkan hadith-hadith sahih yang warid dari Baginda SAW. Kita disyorkan untuk berdoa apa sahaja yang kita ingini ketika menunggu waktu tersebut. Rasulullah SAW bersabda seperti yang diriwayatkan Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban:

“Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi.”

Rasulullah SAW juga mengajarkan cara berdoa ketika berbuka puasa. Berikut adalah doa yang baik untuk dibacakan oleh kita sebagai memenuhi tuntutan ittiba’ al-Sunnah. Imam al-Darulqutni menilai sanad hadith ini sebagai hasan. Doa tersebut adalah:

“Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.”

Marilah sama-sama kita berpuasa sepertimana puasanya Rasulullah SAW dan para sahabat yang mulia. Semoga puasa kita pada tahun ini mampu mengubah dimensi hidup kita yang bercerminkan sunnah Rasulullah SAW dalam beribadat. Tunaikanlah zakat dan perbanyakkanlah membaca al-Quran, berzikir dan berselawat, nasihat menasihati serta berdakwah untuk Islam. Jadikan Ramadhan kali ini penuh makna untuk diri kita dan masyarakat.

Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban. Dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan, aamiin ya Allah.

Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad, Wa ‘Ala Ali Sayidina Muhammad.

Wallahu ‘Alam.

No comments:

Post a Comment