Assalaamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh,
Allahumma Solli
‘Ala Sayidina Muhammad, Wa ‘Ala Ali Sayidina Muhammad,
Alhamdulillah,
syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi kesempatan kepada saya untuk mencoretkan
sesuatu di laman ini pada malam ini. Harapan saya semoga sahabat semua sentiasa
sihat wal’afiat dan berbahagia bersama keluaraga/orang tersayang.
Bismillahirahmanirrahim,
apa itu Mujahadah ?
Mujahadah ialah
salah satu istilah yang sering kita jumpa dalam pengajian ilmu tasawwuf atau
akhlak. Perkataan “mujahadah”
berasal daripada perkataan“jihad”, yang
bererti usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredai
Allah.
Ia juga membawa
pengertian penentangan (perlawanan) terhadap anasir-anasir yang hendak
merosakkan negara dan lain-lain seperti hawa nafsu, diktator, kezaliman dan
sebagainya.
Dalam ilmu
tasawwuf, mujahadah lebih menitikberatkan kepada usaha melawan hawa nafsu
secara bersungguh-sungguh untuk mencapai reda Allah. Orang yang bermujahadah
dipanggil Mujahid/ Mujahidah.
Al Marhum Said Hawwa dalam kitabnya, menyebut rukun mujahadah ada empat iaitu pertama memencilkan diri, kedua diam, ketiga berlapar dan keeempat berjaga malam.
1.
Memencilkan Diri (Al Uzlah)
Apa yang
dimaksudkan dengan al-uzlah di sini ialah memencilkan diri daripada segala
kekufuran, kemunafikan dan pembuat kejahatan, termasuk menjauhkan diri daripada
majlis yang mempersendakan ayat-ayat Allah.
“Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa
yang kamu seru selain Allah, dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, mudah-mudahan
aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku".
- (Q.S Maryam:48)
Dan apabila kamu melihat orang-orang
memperolok-olokkan ayat-ayat kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka
membicarakan pembicaraan yang lain. dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan
larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu
sesudah teringat (akan larangan itu). - (Q.S Al An’am:68)
Walau
bagiamanpun uzlah ini bukanlah berpanjangan sepanjang masa. Ianya merupakan
ubat hati untuk melawan sifat mazmumah. Sekiranya hati sudah terubat dan tidak
terikut kepada kejahatan maka hendaklah dizahirkan kebenaran di hadapan
kebathilan sebagaimana hadis Nabi SAW:
“Tetap akan ada dalam kalangan umatku yang
menzahirkan kebenaran, mereka tidak akan terhina dengan penghinaan yang
dilemparkan kepada mereka..”.
2.
Berdiam (As Somt)
Orang tua-tua
ada berkata “Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa”. Sabda Nabi
SAW yang bermaksud, “ Barang
siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata
perkataan yang baik ataupun dia diam”.
As somt yang
dikehendaki di sini ialah menjaga lidah daripada daerah dosa dan lagha seperti
mengumpat, mencaci, mengadu domba, bertengkar, memaki hamun, bercakap perkara
yang sia-sia dan sebagainya.
Sekiranya
kedaan memerlukan kita untuk bercakap atau bersuara, seperti amar makruf nahi
mungkar, mengajar manusia tentang Islam, maka ketika itu berdiam adalah haram.
Diam adalah wasilah untuk mencapai reda Allah. Ianya bukanlah matlamat dalam
kehidupan kita.
3.
Berlapar (Al Ju’)
Hukum asal
dalam soal makan minum ialah makan untuk menguatkan tubuh badan supaya dapat
mengerjakan suruhan Allah. Membazir dan berlebihan adalah dilarang.
Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di
setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.
- (Q.S Al A’raf:31)
Orang yang
sentiasa berlapar akan dikurniai kejernihan hati dan hikmah. Lapar akan
melemahkan hawa nafsu untuk mengerjakan kejahatan. Di antara rukun Islam ialah
berpuasa. Puasa disifatkan oleh Nabi SAW sebagai pendinding diri daripada
mengerjakan sesuatu yang dilarang. Sabda Nabi SAW:
“Wahai para pemuda! Barangsiapa yang mampu
berkahwin, maka kahwinlah. Sesungguhnya dengan berkahwin dapat menundukkan
pandangan dan menjaga kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia
berpuasa kerana puasa itu adalah pendinding”.
4.
Berjaga Malam (As Sahr)
Islam mengajar
umatnya supaya pandai mengurus dan membahagikan masa. Sekiranya kita tidak
pandai mengurus masa tidur, maka ianya boleh menyebabkan kita mengalami
kerugian yang besar. Kita berkemungkinan tidak dapat solat subuh berjamaah,
beristighfar pada waktu fajar, solat tahajjud dan solat isyak berjamaah.
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada
dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air, Sambil menerima segala
pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah
orang-orang yang berbuat kebaikan. Di dunia mereka sedikit sekali tidur diwaktu
malam. Dan selalu memohonkan keampunan pada waktu pagi sebelum fajar.“ - (Q.S Az Zariyat:15–18)
“Hai orang yang berselimut (Muhammad), Bangunlah
(untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu)
seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua
itu. dan Bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya kami akan
menurunkan kapadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam
adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan.
Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak).
Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.”
- (Q.S Al Muzzammil:1–8)
Wallahu ‘Alam ~
p/s: Allahumma
Solli ‘Ala Sayidina Muhammad, Wa ‘Ala Ali Sayidina Muhammad.
Ilalliqa’ ~
syukran untuk ilmu ini akhi. Moga Allah rahmati. Teruskan perjuangan.
ReplyDelete