Friday 24 May 2013

Aku, Dia Dan Sahabat (Bahagian 2)


“ Assalamualaikum,”

“  Walaikumusalam, siapa ni.?”

“ si Juhair adakah ?”

“ Emm, Ana la ni yang sedang bercakap. Akhi ni siapa.?”

“ Oh, Aku ni boyfriend si Dia. Aku dengar kau ada kacau dia, betulkah.?”

“ Apa yang Akhi maksudkan? Ana kurang fahamlah.”

“ Si Dia cakap kau ada kirim surat dengan dia.”

“ Oh, itu yang akhi maksudkan. Takkan hanya dengan mengirim surat saja, sudah dianggap menganggu.?”

‘Aku mau kau jangan ganggu Si Dia lagi, sebab Akulah boyfriendnya.”

“ Bha, suka hati Akhi lah, yang penting Ana tidak terniat pun untuk menganggu Si Dia Assalamualaikum.”

            Terasa macam ada batu yang menghentak perasaan ini. Rasa sedih, marah, kecewa dan dendam semuanya berkumpul menjadi satu. Melalui perbualan telefon yang singkat itu, Aku telah mendapat jawapan yang Aku nanti-nantikan selama ini. Entah bagaimana Aku akan menghadapi hari esok. Seolah-olah tiada harapan lagi untuk terus hidup di hari esok.

***
            Sepanjang tempoh perjalanan balik dari masjid, Aku cuma mendiamkan diri saja. “Mungkin Aku mesti bagi tahu dengan Shahz pasal hal tadi Asar.”  “Shahz, aku ada mau bagi tau kau sesuatu ni.” Shahz cuma tersenyum dan menyuruh Aku untuk menceritakan apa yang aku mahu sampaikan. Setelah beberapa detik, Shahz sendiri pun terkejut dengan cerita yang aku beritahu dengan dia. “Sabar ja lah Juhair, bunga bukan sekuntum. Lagipun kau sudah cakap dengan dia jangan bagi tahu siapa-siapa pun pasal hal ini. Tapi nampak sangat dia tak berpegang dengan janji.” Betullah seperti yang dikatakan oleh Shahz, dalam surat tu, Aku ada meminta kepada dia untuk rahsiakan hal ini. Dan Aku hanya mampu tersenyum meskipun hati ini sakit.

***
            “Juhair, apa jadi dengan kau ni, ketinggalan sudah kita beberapa mata dengan kumpulan lain. Selalu kau yang bersemangat menjawab soalan kuiz Sejarah.” Tegur Nur yang sekumpulan dengan Aku. “ Tiada apa-apalah Nur. Aku Cuma kurang sihat ja.” Jawapku sambil tersenyum. Namum dapat ku lihat raut wajah Nur seperti mengetahui apa yang terjadi kepada ku. Muslim, Mukminin, Nur dan sahabat-sahabat yang lain terus berjumpa denganku dan sebagai wakil, Nur  bertanya, “ Juhair, bagus kau ceritakan apa yang berlaku dengan kau. Selalunya kau lah yang paling banyak cakap, tapi kenapa sejak dua hari yang lepas kau tiba-tiba berubah.?”

            ‘Tiada apa-apalah. Aku biasa ja bah, macam dulu juga.” Jawabku sambil tersenyum pahit. “Juhair, cerita ja dengan kami apa yang jadi. Takkan dengan kami pun kau mau berahsia lagi. Beginikah bestfriend.?” Giliran Mukmin pula yang berbicara. Akhirnya setelah dipujuk dan `diugut` oleh mereka, Aku menceritakan hal yang sebenarnya.

            “ Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia menjadikan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada demikian itu benar-benar  terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” Surah Al-Rum ayat 21.

            Mukmin menegurku dengan membacakan terjemahan ayat daripada Al-Quran. Disaat itu aku sedar, aku terlalu berharap kepada cinta Si Dia  tanpa terfikir pun tentang janji Pencipta. Aku berasa terlalu malu dengan diri sendiri. Malu dengan Allah dan RasulNya. Malu dengan sahabat-sahabatku kerana membiarkan diriku dikuasai oleh emosi sendiri.  Aku lupa dengan janji Allah. Janji yang kekal abadi dan tidak pernah dimungkiri. Di saat itu, Aku telah menetapkan bahawa, Aku mesti memperoleh Cinta Allah dan RasulNya, hanya dengan Cinta yang sejati ini, sesiapa pun tidak akan berasa terluka dan kecewa. Aku mesti yakin dengan janjiNya.

            “ Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu yang keji dan suatu jalan yang buruk.” Surah al-Isra’, ayat 32.

            Astagfirrullah al’azim. Betapa dekatnya diriku dengan zina ketika itu. Baru  Aku menyedarinya ketika di tegur oleh Mukmin. Sebelum ini, aku selalu teringat pada Si Dia dan adakalanya perasaan  rindu ku terhadap melebihi perasaan rinduku terhadap Allah dan Rasulnya. Tekad dihati perlu diteruskan, iaitu memburu cinta Ilahi.

***
            Beberapa bulan telah berlalu, peristiwa yang berlaku itu masih segar di ingatan dan  menjadi sebuah pengalaman yang mendewasakan diri ini.  Terasa masa begitu cepat berlalu dan kini, tinggal beberapa hari lagi sebelum kedatangan pelajar-pelajar Enam bawah untuk meneruskan pembelajaran mereka.

“Juhair, Si Dia  masuk tingkatan Enamkah.?” Soal  Muslim kepadaku. “ Entahlah. Aku pun tidak pasti lagi. Kenapa.?” Jawapku. “ Sudah gaharu, cendana pula, sudah tahu bertanya pula.”  Jawap Muslim yang cuba menyakat Aku. “Ah, memandai-mandai jer kerja mu ni.” Balasku kepada Muslim. “ Ku pendamkan perasaan ini, ku rahsiakan rasa hati ini, menyembunyikan kasih yang berputik..”  Sekali lagi Muslim menyakat ku. “ Entahlah kau Muslim, sudahku cakap, cintaku hanya untuk Allah dan RasulNya.  Bukan untuk orang yang pernah menyebabkan luka di hati ini.” Luahku kepada Muslim. “ sorry Juhair, aku main-main jer tadi, bukannya aku serius pun,” Muslim tersenyum kelat melihat mendengar jawapan yang Aku berikan.




BERSAMBUNG…

Sunday 12 May 2013

Mencari Redha Ilahi


Assalaamualaikum wbt,
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad.

Kaifa Halukum? Semoga para pembaca sentiasa berada dalam rahmat dan redhaNya (AAMIIN), inshaaALLAH.

            Setelah diperkenankan oleh diri sendiri, hehe. Dengan ini saya, Juhair Fa’izzin ingin mengisytiharkan bahawa operasi penulisan dalam blog ini ( epilogiseorangdaie.blogspot.com ) akan bercuti mulai tarikh hari ini, 12 Mei 2013. Blog ini akan beroperasi semula pada 24 Mei 2013.

            Terdapat beberapa perkara yang tidak diingini akan berlaku dan menyebabkan saya tidak dapat sentiasa aktif dalam penulisan untuk blog ini. Antaranya ialah:

ü Esok sekolah! Musim persekolahan Pra-U / Tingkatan 6 Bawah akan bermula.
ü Study Week! Ambang peperiksaan Penggal 2 Pra-U / Tingkatan 6.
ü Dan lain-lain.

Pada 24 Mei 2013, nantikan kembalinya saya untuk mengaktifkan kembali blog ini dengan sambungan Cerpen Aku, Dia Dan Sahabat ( Bahagian 2 ).

Sekian.

Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad :’),
Ilalliqa’ ~ 

Saturday 11 May 2013

Dai'e Tidak Rasmi


Assalaamualaikum,
Allahuma Solli ‘Ala Sayidina Muhamad.

            Kaifa haluk? Mesti ramai pembaca tertanya-tanya dengan apakah yang dimaksudkan dengan tajuk penulisan blog kali ini. Daie tidak rasmi boleh diertikan sebagai individu yang berkongsi pesanan, ilmu dan nasihat. Pasti ramai yang telah menjadi Daie Tidak Rasmi, sama ada dalam facebook, blog, instagram dan  banyak lagi di dalam laman sosial.  Namun berapa ramai di antara kita yang ikhlas untuk berkongsi pesanan dengan hati yang ikhlas? Atau kita hanya sekadar hendak menggambarkan diri seorang yang alim atau ‘perasaan baik’ atau dalam erti kata lain, riyak.

            Dalam sebuah buku bertajuk Riya’ The Hidden Syirik, menunjukkan riyak berasal daripada perkataan “ raa’a ” yang bermaksud untuk melihat, dilihat dan memandang. Perkataan riyak dari sudut istilah bermaksud hipokrasi, memperdaya, melakukan sesuatu hanya apabila ada orang melihat, sementara dari sudut syariah pula bermaksud melakukan sesuatu bertujuan untuk memuaskan hati orang lain selain daripada Allah.

            Niat yang tidak ikhlas seperti mahukan pujian orang ramai menatijahkan sesuatu perbuatan bukan kerana Allah. Antara contoh riyak yang paling tepat ialah memperelok solat ketika bersama orang lain tetapi dilakukan bersama orang lain tetapi dilakukan sambil lewa apabila bersendiri.

            Ibn Qayyim al-Jawziyah berkata: “ Perbuatan (niat) dari hati asas kepercayaan dan perbuatan daripada anggota badan menyempurnakan. ”  Ilmu untuk mengenali niat hati lebih penting daripada perbuatan tubuh badan. Penyembahan yang dilakukan oleh hati lebih besar dan utama daripada penyembahan yang dilakukan oleh anggota badan. Oleh itu, setiap perkara yang kita lakukan mestilah dimulakan dengan niat kerana Allah, bukan untuk meraih pujian daripada manusia lain.

            Sebagai contoh, menunaikan solat tanpa niat di hati seperti badan yang mati. Oleh sebab itu, niat dihati berkait rapat dengan riyak. Dan setiap perbuatan kita diadili berdasarkan niat. Setiap insan perlu menyoal diri sendiri ( bukan menyoal niat orang lain) amat penting dan perlu diberi keutamaan bagi setiap Mukmin. Imam al-Nawawi turut memilih hadis mengenai kepentingan niat sebagai permulaan dan pembukaan dalam bukunya menunjukkan peri pentingnya ketetapan niat.

            Para salafussoleh dan umat Islam terdahulu menyedari kepentingan niat yang ikhlas dan baik. Sufyan al-Thauri, seorang alim yang berasal dari Kufah dan meninggal dunia di Basrah pada 777 SM pernah berkata: “ Tiada yang lebih sukar bagiku daripada memperbetulkan niatku kerana ia sentiasa berubah. “

            Antara perkara yang boleh kita lakukan ialah memberi nasihat. Walaupun kita banyak dosa dan tidak sempurna, proses saling mengingatkan orang lain perlu berlaku. Memberi nasihat bukanlah bererti “ kita semuanya betul ” atau “ kita seorang saja yang baik ”. Seolah-olah menggambarkan hanya orang yang sempurna dan alim saja yang boleh menasihati orang. Menurut  Abu Ammar Yasir al-Qathi, pandangan itu daripada bisikan syaitan.

            Setakat ini saja perkongsian untuk kali ini. InshaAllah, sekiranya diberikan peluang untuk berjuang di medan dakwah ini, kita akan bertemu lagi di lain lembaran. Sebelum menutup perkongsian kali ini. bersama-samalah kita memperbetulkan niat kita. Jangan semua perbuatan yang kita lakukan hanya untuk meraih pujian ataupun sanjungan daripada manusia, sebaliknya berniat kerana Allah.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah berkata, Umar bin Al-Khattab R.A berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“ Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan sampai kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehinya dan menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya. “ ( H.R Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Al-Tarmizi, Al-Nasa’i, Ibn Majah dan Ahmad )

Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad,
Wallahu ‘Alam,
Ilalliqa’ ~ J ~

Friday 10 May 2013

Nak Sambut 'Hari Ibu' Boleh Tak ?


Assalaamualaikum wbt ,
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad :’) .
Kaifa Halukum ?

Bolehkah kita menyambut perayaan Hari Ibu ? Jawapannya HARAM ! Kalau disambut , SYIRIK ( berdosa besar ) . Kenapa ?

Di Amerika Syarikat , Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe . Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi “The Battle Hymn of The Republic” (TBHoTR) . TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika . Ungkapan “Hallelujah” dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia .
Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu . Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother’s Church di Grafton , West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya , iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei . Semenjak dari itu , Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia .

Anna Jarvis dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri , golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah . Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika . Pada tahun 1914 , Presiden Woodrow Wilson , secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei .

Orang-orang Greece pula menganggap ‘Hari Ibu’ sebagai perayaan musim bunga dan penghormatan terhadap Rhea , ibu kepada tuhan mereka . Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai “Mothering Sunday” . Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent . Lent adalah tempoh masa selama 40 hari sama ada dalam bulan Februari atau Mac . Dalam tempoh ini , sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama . Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary . Mother Mary adalah Maryam , ibu kepada Nabi Isa AS atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan .

Perayaan ini bersamaan hari kenduri Persembahan Nabi Isa di Kuil dalam mazhab Ortodoks Timur . Oleh sebab Theotokos (Ibu Tuhan) amat penting dalam perayaan ini kerana membawa Christ ke Kuil Jerusalem , perayaan ini dikaitkan dengan ibu . Namun begitu , kini ramai orang Greece cenderung menyambut Hari Ibu mengikut negara Barat yang lain . Dalam tempoh tersebut, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin akan bekerja sebagai pembantu rumah . Mereka keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut . Menjelang hari Ahad keempat , mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu . Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut .

Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church . Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan . Sejak dari itu , perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan . Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja .

Itulah serba sedikit sejarah tentang Hari Ibu yang diraihkan oleh orang kafir setahun sekali . Dalam Islam kita tidak diajar untuk hanya menghargai ibu setahun sekali . Islam mengajar kita supaya sentiasa menghargai ibu kita pada setiap waktu . Di mana ada kelapangan , kita boleh berjumpa dengan ibu kita , memberi kasih sayang dan penghargaan kepada ibu kita . Itulah Islam .

Cuma masyarakat Islam khususnya di Malaysia ini sahaja yang nak sambut semua perayaan tanpa usul periksa . Astaghfirullahal Adzim ! Di China , orang Beijing tidak akan sambut Deepavali . Orang Jepun tidak akan sambut Awal Muharam sebab dia tahu itu perayaan orang Islam . Orang Mexico sambut perayaan Krismas , mereka tidak akan sambut Maulidur Rasul . Orang Kanada tidak akan sambut Thaipusam , betul tak ?

“ Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima kepadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi . “ – ( Q.S Ali Imran : 85 )

 “ Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan tersebut . ”  - ( H.R Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albaniy )

Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad ,
Wallahu ‘Alam .

Wednesday 8 May 2013

Aku, Dia Dan Sahabat

“Kupendamkan perasaan ini
Kurahsiakan rahsia hati ini
Melindungkan kasih yang berputik
Tersembunyi di dasar hati”

                Bait-bait lagu itu mengingatkan aku kembali kepada satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan dan akan menjadi sebuah kenangan yang berbekas dihati. Entah kenapa diri ini masih mengharapakan sesuatu dari dirinya meskipun jawapan yang telah Aku terima, telah membuat Aku merasa kecewa dan putus asa. Kadang-kala apabila mendengar lagu-lagu sebegini akan membuat aku terus mengingati bagaimana perasaan sayang daripada seorang yang aku anggap sebagai adik berubah menjadi suatu perasaan yang sukar digambarkan. Semua ini bermula dengan satu peristiwa yang tidak disangka-sangka.

***
                “Juhair, cuba kau tengok si Dia tu.’, tegur sahabat baikku, Mukmin. Sebaik sahaja melihat Dia, Aku merasakan sesuatu yang berlainan. Meskipun aku sudah menganggap dia sebagai adik, namun perasaan itu berubah semenjak Aku digandingkan dengan dia menjadi pengerusi majlis dalam upacara penyampaian hadiah sempena Bulan Membaca yang dianjurkan oleh pusat sumber sekolah kami. Terdetik di hati ini bahawa mungkin ini cuma mainan perasaan sahaja kerana tidak mungkin Aku akan jatuh cinta dengan Dia kerana Dia sudahku anggap seperti seorang adik.

                Beberapa selepas kejadian itu, Aku dapat merasakan perasaan yang berlainan setiap kali berjumpa dengan dia. Kadang-kala Aku terasa ingin mengelak untuk berjumpa dengannya. Saat itu aku yakin bahawa Aku perlu meluahkan tentang apa yang Aku rasa setiap kali berjumpa dengannya. Pernah juga Aku meminta pendapat daripada seorang lagi sahabat baikku, Muslim. Muslim mengatakan perasaan cinta itu tidak salah bahkan ia merupakan fitrah manusia, Cuma dia berpesan jangan sekali kau merosakkan hubungan tersebut dengan terjebak dalam tipu daya syaitan. Disaat itu, Aku telah menetapkan bahawa Aku akan menulis surat kepada untuk memberitahu Dia mengenai perasaan ku.

***
                Usai menunaikan solat Isyak secara berjemaah di Masjid Jamek, aku dan Shahz berkongsi cerita sepanjang perjalanan kami menuju ke kawasan tempat tinggal kami. Shahz merupakan salah seorang sahabat baikku juga dan antara sahabat yang boleh dipercayai. “Shahz, ingat lagikah pasal si Dia?. Pertanyaan yang sengaja aku ajukan kepada si Shahz. Shaz  menjawab ‘mestilah ingatkan sejak akhir-akhir ni kau selalu cerita pasal dia’. Tersenyum aku mendengar jawapan yang diberikan olehnya. Aku pun menceritakan kepadanya bahawa esok akan aku hantar surat kepada Si Dia untuk memberitahu mengenai perasaanku terhadapnya. Shahz hanya tersenyum dan mengangguk sahaja. Tapi disebalik senyumannya itu aku mengerti apa yang cuba disampaikan olehnya.

***
                ‘Nur, boleh tak kau bagi surat ni kepada si Dia’. Nur tersenyum melihat gelagatku. Dia merupakan antara sahabat muslimah yang paling rapat dengan Aku. Setiap dia gembira dan sedih, pasti dia akan menceritakan dengan Aku. ‘Kau ni buang tabiatkah Farisi.? Apa mimpimu tetiba bagi surat ni.? Takkan kau betul-betul jatuh hati dengan Si Dia.?’ Tiba-tiba Nur bertanyakan soalan yang sememangnya jawapan bagi soalan itu telah dia ketahui dari awal. Aku cuma diam dan mampu tersenyum. ‘Suka hatimulah Juhair, aku ikut ja apa yang kau minta’. Tentu saja Nur mahu menolong sebab Aku pun pernah menjadi posmen untuk menghantarkan surat ‘cinta’nya kepada seseorang. Apa yang pasti, Aku ingin surat itu dihantar secepat yang mungkin agar perasaan ini dapat menjadi tenang semula. ‘Juhair, suratmu sudah aku hantar tadi, waktu rehat. Aku terserempak dengan Dia ketika hendak ke kelasnya.’ Kata Nur kepadaku. Aku hanya mampu tersenyum dan mengangguk sebagai tanda terima kasih kepadanya. Saat itu, Aku hanya menanti jawapan yang bakal diberi oleh Si Dia. Lagipun Aku cuma mengatakan apa perasaanku terhadapnya dan tidak mengharapkan sebarang jawapan. Usai solat Asar, seperti biasa Aku melipat sejadah dan meletakkannya di tempat biasa. Namum pada petang itu, jawapan  yang  telah Aku nantikan telah terjawab.
Bersambung…

Wanita Umpama Pakaian


Assalaamualaikum…
Allahuma Solli’ Ala Sayidina  Muhammad…

            Apa khabar para pembaca sekalian. Terima kasih kerana sudi singgah sekali lagi dalam blog. InshaAllah, setiap perkongsian yang akan saya buat, kita semua akan memperoleh manfaatnya. Baiklah, untuk perkongsian kali ini, saya sekali lagi ingin berkongsi mengenai jenis-jenis pakaian. Pasti para pembaca sekalian hairan bukan..? Sebenarnya kali ini saya akan mengaitkan aurat seorang muslimah dengan pakaian. Ilmu ini baru saja saya peroleh dan saya teringin sangat berkongsi ilmu tersebut dengan kalian semua, khususnya pembaca Muslimah.

            Pakaian murah. Hanya dilongggokan. Pembantu kedai pun tidak sudi melipatnya dengan kemas. Berhabuk. Sesiapa pun boleh pegang sesuka hati. Tidak suka campak kemudian ambil yang lain.  Pakaian yang murah ini boleh diibaratkan seperti Wanita yang terdedah sana sini, malah mudah bergaul dan mudah didekati. Sudah tentu orang yang bakal memiliki pakaian sebegini daripada taraf yang sama( lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik, manakala lelaki yang jahat hanya untuk perempuan yang jahat.

            Pakaian Biasa. Digantung rapi, tetapi kadang-kadang apabila tiba musim jualan murah, turut dilonggokan sama. Pakaian ini tarafnya tinggi sedikit daripada pakaian murah. Pakaian murah ini boleh diibaratkan seperti Wanita yang penampilannya dijaga tetapi tidak sepenuhnya. Mungkin bertudung tetapi tidak berakhlak dan tidak solat. Mungkin bertudung tapi masih pakaian sendat dan masih bergaul bebas dengan lelaki. Bertepuk tampar tanpa perasaan malu.

            Pakaian Mahal. Disimpan cantik dalam  “show room” khas. Siap cantik tersimpan di dalam almari kaca. Bukan semua orang mampu memiliki, bukan semua orang berani sentuh. Pakaian Mahal ini boleh diibaratkan sebagai Wanita yang sangat menjaga penampilannya dan akhlak serta imannya. inshaAllah, pemilik pakaian untuk golongan ini juga bukan calang-calang orangnya.

            Dalam surah Annur ayat 31,Dan katakanlah kepada para perempuan beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasaanny(auratnya, kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung hinggga ke paras dada…”.

Melalui ayat ini, jelas bahawa Muslimah yang sejati  perlu menjaga aurat dan batas pergaulan. Buat Muslimin, jadikanlah isi penulisan ini sebagai panduan untuk membimbing adik perempuan, kakak perempuan, ibu, dan juga mungkin untuk isteri dan anak-anak perempuan kita. Yang terakhir, yang baik datangnya dari Allah SWT. Yang buruk datangnya dari diri yang lemah ini. Tingkatkan amal kebaikan, kurangkan amal keburukan.

Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad .
Wallahu ‘Alam .
Ilalliqa’ J

Tuesday 7 May 2013

Cinta Rasul?! Ayuh Teruskan Perjuangan


Assalaamualaikum wbt ,
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad .

Ya Rasulullah ,
Bersua muka pun tak pernah bagaimana nak cinta? Mencintai seseorang tanpa mengetahui asal keturunannya merupakan sesuatu yang amat mustahil. Kata orang dari mata turun ke hati tapi kalau dah berjumpa pun belum bagaimana nak jatuh hati?
Namun begitu, cinta ini cinta rumit. Cinta ini cinta buta. Cinta tanpa syarat. Cinta ini bukan atas paksaan sesiapa. Cinta ini adalah cinta akhirat. Cinta lillahi taala.

Menyusuri cinta agung seorang yang bergelar Rasul. Bagaimana Rasulullah SAW boleh mencintai insan yang belum pernah ditemui malah tidak mungkin langsung untuk berjumpa semasa hayatnya. Sungguh mulia cinta ini hinggakan semasa saat diri sedang dijemput sakratul maut cinta itu tetap mekar… ummati… ummati.. ummati. Insan-insan yang dicintainya menjadi kebimbangan.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah pergi ke kawasan perkuburan dan berkata, “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat bertanya: Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah? Baginda menjawab, “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (mukmin di masa hadapan) – [Riwayat Muslim]

Siapakah saudara-saudara itu kalau bukan kita? Baginda telah mencintai kita sebelum lahirnya kita ke muka bumi ini. Kerana cinta Rasulullah SAW jugalah kita dapat merasai nikmat iman dan islam hari ini. Mungkin telah ramai yang tahu mengenai kemuliaan peribadi Baginda. Mungkin juga ada yang bosan mendengar sirah kehidupan Baginda. Dari kecil kita dibiasakan dengan kisah-kisah rasul dan para sahabat. Namun begitu, sedarkah kita kisah-kisah mereka telah banyak menyumbang ke dalam hidup kita sekarang. Tarbiyah dan dakwah yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat amat terkesan dalam kehidupan kini. Sepanjang hayat Nabi SAW merupakan didikan bagi kita untuk menjadi seorang mukmin yang berjaya dunia dan akhirat. Akhlak Nabi SAW juga menjadi contoh terbaik buat seluruh umat manusia di muka bumi ini.

Walau bagaimanapun, pernahkah kita juga cuba memahami dan mengkaji bagaimana seorang pembawa risalah itu menjadi murabbi sepanjang zaman. Baginda yang merindui kita sebelum adanya kita sebenarnya bukan pergi tanpa meninggalkan apa-apa. Demi cinta, Baginda berusaha mentarbiyah para sahabat dengan meniupkan semangat dakwah yang menyebabkan para sahabat tidak lelah dalam menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia. Baginda telah menanamkan tiga hal utama dalam diri para sahabat untuk membangkit roh seorang daie.

1. Beriman Dengan Keagungan Risalah Islam

Rasulullah SAW menanamkan dalam hati mereka bahawa Risalah yang dibawanya adalah al haq, sedangkan selainnya itu adalah kebatilan. Risalah Islam adalah sebaik-baik risalah. Manhaj Islam adalah manhaj yang paling utama. Syariat Islam adalah sistem perundangan yang paling sempurna yang hanya dengannya akan terwujudnya kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.
Di samping itu Baginda juga membacakan sebahagian ayat-ayat Allah kepada mereka, untuk menambah keteguhan jiwa dan keterikatan hati mereka.

Maka berpegang teguhlah kamu kepada apa yang telah diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya, kamu berada di atas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya al-Qur’an itu benar-benar suatu kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu; dan kelak kamu akan ditanya. - [Az Zukhruf : 43-44]

Maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya engkau berada di dalam kebenaran yang nyata. - [An Namlu: 79]

Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syari’at (peraturan) dari urusan (Deen) itu, maka ikutilah syari’at itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. - [Al Jatsiyah: 18]

Maka demi Rabbmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu sebagai hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka suatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. - [An Nisa’: 65]

Mereka (para sahabat) pun akhirnya beriman dan yakin dengan ayat-ayat ini serta berusaha untuk sentiasa bertolak dari sana dalam segala urusan.

2.Berbangga Dengan Deenul Islam

Rasulullah SAW menanamkan dalam hati para sahabat bahawa selama mereka berada di dalam kebenaran dan menjadi pembelanya, maka mereka berada di atas jalan yang terang. Selain dari itu adalah kegelapan.
Selama di tangan mereka tergenggam petunjuk dari langit untuk membimbing manusia, maka lanjutannya, mereka harus menjadi pemandu dan pengarah umat manusia. Mereka harus menjadi pembimbing, pendidik, penunjuk jalan dan penuntun manusia ke arah kebenaran di atas jalan yang lurus.
Al Quran al Karim menegaskan sekaligus menjelaskan kandungan makna ini. Para sahabat pun mendengar dan menerima penjelasannya secara langsung dari Rasulullah SAW.

Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah dari mungkar serta beriman dengan Allah. - [Ali Imran: 110]

Demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi atas (perbuatan) manusia dan agar rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu. -  [Al Baqarah: 143]

Berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam Deen ini (Islam) suatu kesempitan.
- [Al Hajj: 78]

Mereka pun beriman dan yakin dengan semua yang tercantum dalam ajaran Al Quran serta berlumba-lumba untuk mengamalkannya.

3.Keyakinan Akan Datangnya Bantuan Dan Pertolongan Allah.

Rasulullah SAW menanamkan dalam hati para sahabat bahawa selama mereka yakin dengan kebenaran dan merasa bangga berpegang padanya, maka selama itu pula Allah beserta mereka dan akan menolong mereka.
Allah pasti akan memberi petunjuk, membantu dan memenangkan mereka disaat para tentera bumi tidak ada yang mahu bangkit bersama mereka, Allah akan menurunkan bantuan dari tentera langit untuk mereka.
Para sahabat kemudian menelaah makna-makna ini, sebagaimana yang terpapar jelas dalam kitab Allah. Mereka lantas beriman lalu lenyaplah segala kesedihan dan kerisauan.

Sesungguhnya bumi ini milik Allah, yang akan diwariskan kepada siapa saja yang dikehendaki dari hamba-hamba-Nya. Dan akibat terbaik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. - [Al A’raf: 128]

Sesungguhnya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh - [Al Anbiya’: 105]

Dan sesungguhnya Allah akan memenangkan orang yang membela-Nya. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa. - [Al Hajj: 40]

Allah telah menetapkan ‘Aku dan rasul-rasul Ku pasti menang’ Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. - [Al Mujadilah: 21]

(ingatlah) ketika Rabbmu mewahyukan kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhlah pendirian orang-orang yang telah beriman.”
..dan Kami selalu berkewajiban untuk menolong orang-orang yang beriman. - [Ar Ruum: 47]

Dan Kami hendak memberi kurniaan kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi) . - [Al Qashash: 5]

Mereka membaca ayat-ayat ini dan memahami dengan sebaik-baiknya, sehingga iman mereka pun semakin kukuh dan keyakinan mereka semakin mantap.

Maka bagaimana dengan kita. Tugas seorang daie tidak hanya terhenti pada zaman sahabat. Kitalah generasi yang perlu meneruskan tugas penyampai risalah. Sungguh, bukan senang memikul tugas daie, namun yakinlah cinta Nabi SAW bukan cinta sementara. Cinta Baginda sampai syurga. Ayuh, berbekalkan didikan Rasulullah SAW kepada para sahabat, kita teruskan perjuangan ini!

Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad ,
Wallahu ’Alam .

Monday 6 May 2013

Kisah Nabi Yunus As Dan Labu


Assalamualaikum wbt…
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina  Muhammad…

Baiklah, pada lembaran kali ini, saya akan berkongsi sedikit mengenai cerita mengenai Nabi Yunus a.s. Mesti ramai yang terfikir apa kaitan antara kisah Nabi Yunus dan labu yang saya cuba sampaikan. Baiklah sebelum itu, saya ingin menceritakan sedikit mengenai biografi Nabi Yunus a.s.  menurut pandangan ahli sejarah dan tafsir, mereka berpendapat bahawa nama sebenar beliau ialah Yunus bin Matta. Beliau diutuskan Allah untuk berdakwah kepada penduduk kawasan “Ninawa”. Namun begitu, penduduk di sana bukan kaumnya dan tidak mempunyai ikatan persaudaraan dengan beliau.

Ketika berusia 30 tahun, Allah telah mengutuskan beliau sebagai pembawa ajaran tauhid dan keimanan kepada mereka. Beliau menerima wahyu daripada Allah yang menyebut agar Nabi Yunus meneruskan dakwahnya untuk tempo 40 hari dan sekiranya mereka tidak mahu beriman dengan Allah, nescaya Allah akan menurunkan azab kepada mereka. Pun begitu, mereka tetap tidak mengendahkan. Setelah Nabi Yunus meninggalkan kaumnya pada malam ke-40, pendduduk-penduduk Ninawa telah membayangkan ancaman yang telah diberikan menjadi kenyataan.

Mereka memerhatikan keadaan sekeliling telah berubah. Cuaca yang baik telah menjadi buruk. Keaadaan sekeliling Ninawa berada dalam kegelapan. Binatang ternakan menjadi gelisah dan tampak tidak tenang. Wajah-wajah mereka tanpa disedari  menjadi pucat tanpa peraliran darah. Disaat itu, mereka menyatakan keimanan dan kepercayaan mereka kebenaran dakwah Nabi Yunus. Mereka memohon keampunan dan bertaubat serta menyesali dosa-dosa  besar yang telah mereka lakukan. Allah Maha Pengasih dan Penyayang lagi Penerima Taubat setiap insan yang benar-benar bertaubat kepadaNya. Azab yang diturunkan ke atas kaum Nabi Yunus telah lenyap dan Nabi Yunus meneruskan perjalanan dan belayar dengan sebuah kapal.

Semasa dalam pelayaran tersebut, angin taufan datang melanda dan hampir menenggelamkan kapal tersebut. Nahkoda kapal tersebut menyatakan bahawa kejadian sebegini berlaku hanya bila kapal itu membawa pelarian. Mendengar perbicaraan tersebut, Nabi Yunus terus menyatakan bahwa Beliau seorang pelarian dan tanpa berfikir panjang, Nabi Yunus terus terjun sambil di telan oleh ikan Yu yang besar. Hal ini juga telah diceritakan dalam surah al-Saffat, ayat 142-145 yang menceritakan bagaiman Nabi Yunus ditelan ikanYu kerana meninggalkan kaumnya. Kemudian beliau dilemparkan ke daerah yang tandus dan berada dalam kesakitan.

Pasti para pembaca sekalin terfikir mana cerita labu yang hendak disampaikan oleh saya. Baiklah, kisah yang saya ceritakan sebentar tadi merupakan bahagian pertama kisah ini. Sekarang, mari kita sama-sama membaca bahagian yang kedua pula. Nabi Yunus yang terdampar di seebuah daerah yang gersang berada dalam kesakitan luar dan dalaman. Baginda terfikir bagaiman hendak mencari makanan dan ubat di tanah yang gersang dan tandus. Rupa-rupanya Allah telah memperlihatkan kasih-Nya yang tiada hujungnya. Pada bahagian kedua ini, Allah menurunkan nikmat-Nya kepada hamba-Nya.

Allah berfiirman yang bermaksud: “Dan Kami tumbuhkan untuk dia sebatang pokok daripada sejenis labu”( Surah al-Saffat , ayat 146). Kita dapat menjadikan buah labu sebagai satu bukti mukjizat AllahS.W.T  bagi membantu hamba-Nya. Menurut ahli tafsir al-Quran seperti al-Nasafi dan kajian ilmuwan moden, mereka menyimpulkan bahawa buah labu mempunyai unsure gizi yang baik untuk tubuh seperti, 94% air, 1% protein, 4 % karbohidrat, dan sebagainya. Labu juga boleh disimpan untuk tempoh yang lama dan boleh dimakan secara mentah. Dan diakhir cerita ini, Allah berfirman yang bermaksud, “Dan Kami utuskan dia kepada seratus ribu orang atau lebih dan mereka beriman. Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu”(  Surah Al-Saffat, ayat 147-148). Dapat kita simpulkan bahawa setelah sembuh dari cedera, Nabi Yunus telah kembali kepada kaumnya dan mereka telah beriman kepada Allah.

Kisah ini juga telah memberikan kekuatan hati kepada Rasulullah dalam mengharungi usaha dakwah yang mencabar. Nabi Muhammad S.A.W. juga meminati buah labu untuk dijadikan makanan. Baginda juga melihat labu ini sebagai satu kisah dan simbolik daripada teman seperjuangnya iaitu Nabi Muhammad untuk meneruskan dakwah.

Kesimpulannya, kita dapat lihat bahawa perjuangan di medan dakwah bukannya satu perjuangan yang mudah. Adakalanya setiap perjuangan itu memerlukan pengorbannya yang tinggi,  sebelum menutup kalam kali ini, cuba hayati kata-kata yang saya petik ini, “Perjuangan dakwah itu berat, ada sahaja yang gugur dan lari. Bacalah kisah daripada Tuhanmu agar engkau kian semarak untuk berdepan dengan onak dan duri.”

Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad…
Ilalliqa' wama'assalamah…

Sunday 5 May 2013

Jangan Ajak Aku 'Couple'


Assalaamualaikum w.b.t

Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad .


Kali ini , saya ingin berkongsi puisi / sajak nasihat khasnya untuk para pembaca Muslimah yang akan , sedang dan yang pernah ber… ber… ber… ‘couple’ ! :P . Dan bagi para pembaca Muslimin , diharapkan agar  dapat memahami apa yang terpendam di hati seorang Mujahidah .



Ya akhi ,

Jangan ajak aku ‘couple’ ,

Kerana cinta demikian bukanlah hubungan yang dihalalkan ,


Ya akhi ,

Jangan ajak aku ‘couple’ ,

Kerana ‘couple’ begitu dekat dengan kemaksiatan ,


Ya akhi ,

Jangan ajak aku ‘couple’ ,

Kerana aku tidak mahu kerhormatanku tergadai ,


Ya akhi ,

Jangan ajak aku ‘couple’ ,

Kerana di sebalik keindahannya ,

 Mengundang kemurkaanNya ,


Ya akhi ,

Jangan ajak aku ‘couple’ ,

Kerana aku ingin menjaga kesucian ,


Ya akhi ,

Jangan ajak aku ‘couple’ ,

Kerana aku takut buaiannya melunturkan cinta ku ,

Terhadap Allah dan RasulNya ,


Ya akhi ,

Jangan katakan aku berlagak alim ,

Ya akhi ,

Jangan katakan aku berlagak suci ,


Akan tetapi aku hanya ingin tetap menjaga kehormatan diri ,

Aku hanya ingin tetap menahan diri ,

Aku hanya ingin patuh kepada Ilahi ,


Telah aku tetapkan dalam hati ini

 hanya imam ku yang boleh memiliki ,

Dan menikmati perhiasan ku ini ,

Setelah tertambat dalam ikatan suci ,

Kerana aku yakin sekali ,

Couple’ setelah bernikah itu ,

 Akan membuahkan kebahagiaan abadi .


                              Diharapkan agar para pembaca dapat mengambil iktibar daripada puisi / sajak ini sebagai panduan untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam ‘couple’ sebelum nikah kerana perbuatan itu bukanlah sunnah Rasulullah SAW .

Sabda Rasulullah SAW :

“ Wahai sekalian pemuda , sekiranya kamu berkemampuan , berkahwinlah dan sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah ia kerana dengan berpuasa dapat memelihara daripada kejahatan . “ (Hadis Sahih Riwayat Bukhari)


Firman Allah SWT :
" Janganlah kamu menghampiri zina , sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan) . " (Q.S Al-Isra' : 32)

                              Tuntasnya, marilah kita bersama-sama bermujahadah untuk memperbaiki kelemahan Diri dan Iman . Jaga Diri , Jaga Hati dan Jaga Iman . InshaAllah, berjumpa lagi kita di lain lembaran .


Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad .

Ilalliqa’ ~

Credit : Abu Abdirrahman Muhammad Hassan .

Saturday 4 May 2013

Ya Rasulullah SAW Tolong Pohon Ampun Dosa Aku


Assalaamualaikum w.b.t ,
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad .

Alhamdulillah , untuk post yang seterusnya saya ingin berkongsi sesuatu , emm bukan nasihat tetapi pesanan untuk sahabat semua dan juga untuk diri saya sendiri . Okey , kalau kita imbas kembali sirah–sirah Nabi SAW di mana alangkah bertuahnya para sahabat yang hidup di zaman Nabi SAW . Di zaman Nabi SAW best , para sahabat kalau ada masalah , tak ada masalah kah , saja–saja kah , nak minta Nabi SAW tolong doa kah , boleh terus jumpa Nabi SAW . Sebab itu Allah turunkan ayat ini :

Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya dia ditaati dengan izin Allah dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu ( wahai Muhammad ) lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka ,  tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat , lagi Maha Mengasihani . (Q.S An-Nisa’ : 64)

            Ayat ini special dan tak ramai orang syarah ayat ini . Ayat ini diceritakan oleh Sheikh Ali Jumaah dalam satu kitab , dan dia jawab tomahan yang orang kata kepada Nabi . Persoalannya , ayat ini valid sampai bila ?

            Kalaulah kamu biasa buat kezaliman terhadap diri kamu ? Di dunia ini siapa yang tidak biasa zalim termasuklah saya , kita semua zalim . Zalim lawan kepada adil . Adil meletakkan sesuatu pada tempatnya , zalim tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya . Contoh , kadang-kadang baju kita letak merata , sepatutnya disangkut . Baju patut duduk dalam tempat baju kotor , tapi kita pergi letak di dapur . Itu baru benda ringan .

            Kalau kamu ada buat kezaliman terhadap diri kamu , jumpa Nabi SAW , doa ! Suruh Nabi SAW doa untuk kamu , minta doa supaya Allah ampun dosa kamu . Orang tanya , ayat ini valid sampai bila ? Kalau di zaman Nabi SAW tiada masalah , sahabat boleh jumpa Nabi SAW , “ Ya Rasulullah , aku berdosa , tolong minta dengan Allah supaya ampun dosa aku “ . Nabi SAW tadah tangan , doa , ampun dosa terus . Selesai ! Jadi orang tanya , ayat ini valid sampai bila boleh pakai / guna ? Maka kata ulama’ yang menjawab dalam banyak terjemaahan ayat ini , ada satu cerita :

            Seorang ulama’ Al–‘Utbi , dia duduk di makam Nabi SAW , maknanya saat itu Nabi SAW sudah tiada . Saat dia duduk di makam Nabi SAW , nak tidur . Tiba–tiba ada datang seorang Arab Badwi , sampai sahaja orang Arab itu , tidak jauh dari Al–‘Utbi , dia terus memegang makam Nabi SAW . Lalu dia baca ayat ini (Q.S An–Nisa’ : 64) . Selepas orang Arab baca ayat tersebut lalu dia pun berkata , “ Ya Rasulullah , aku datang ke sini dalam keadaan berdosa , aku minta supaya tolonglah pohon ampun dosa aku . “ Selepas itu , orang Arab itu pun pergi , terus dia pergi , pergi dari makam Nabi SAW . Al–‘Utbi tengok orang Arab tadi itu buat kemudian dia pun tertidur . Dan bila dia tidur , Nabi SAW masuk dalam mimpi dia . Nabi SAW kata , “ Al-‘Utbi , pergi panggil orang Arab tadi itu , beritahu dia Allah ampun dosa dia . “

            Cerita ni orang tak pernah sebut untuk bila kita sampai di makam Nabi SAW , buat ! Kalau nak sampaikan salam boleh , tidak salah . Tapi kita terlepas peluang besar , minta Nabi SAW untuk ampun dosa kita , minta doa daripada Nabi SAW supaya ampun dosa kita . Jadi , siapa yang berpeluang pergi ke Madinah , pergi ke Mekah . Ada peluang duduk depan makam Nabi SAW , baca ayat tadi , kemudian minta “ Ya Rasulullah tolong pohon ampun dosa aku “ . Maknanya ayat tadi valid sampai bila ? Kata Sheikh Ali Jumaah , sampai Kiamat .

            Sekian , semoga bermanfaat .
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad .
Wallahu ‘Alam .


Credit :

Thursday 2 May 2013

Manusia Akhir Zaman


Assalamualaikum...apa kabar kalian semua.? Ana harap kalian berada dalam keadaan sihat dan sentiasa mendapat rahmat Allah. Buat pertama kalinya, Ana akan berkongsi satu cerita yang menarik yang terdapat dalam buku ANDAI SYURGA DAN NERAKA ITU TIDAK ADA. Ana memetik salah satu kisah yang menarik untuk tatapan para blogger dan pembaca sekalian....


Pada suatu hari, Nabi Muhammad sedang duduk bersama-sama para sahabat. Baginda  mengambil kesempatan pada waktu itu bagi memberikan pengajaran perihal makna kehidupan kepada para sahabatnya. Baginda berkata, “Kelak pada suatu zaman, wujug umat manusia yang merosakkan sunnahku dengan melakukan bidaah. Barangsiapa yang berpegang teguh kepada sunnahKu, mereka dipulaukan sedangkan orang yang mengikut ajaran bidaah itu, mendapat 50 orang teman ataupun lebih ramai lagi.
Mendengar kata-kata Nabi itu, para sahabat terkejut dan memohon Nabi menjelaskan dengan lebih lanjut. Mereka bertanya, “ Ya Rasulullah, pada waktu masih adakah orang yang memiliki keistimewaan?
Nabi menjawab, “Ya, masih ada.”
“Adakah mereka dapat bertemu denganmu?’ tanya para sahabat lagi.
Nabi menjawab; “Meraka tidak dapat bertemu denganKu.”
Seterusnya, para sahabat bertanya , “Ya Rasul, masih adakah wahyu yang turun kepada mereka”
“ Sudah tidak ada lagi wahyu turun kepada mereka.” Jawab Rasulullah.
Para sahabat bertanya lagi, “Bagaimakah keadaan mereka ya Rasul.?”
Baginda menjadi sedih dan kemudian menjawab, “ Hati mereka rapuh bagaikan garam yang dimasukan ke dalam air.”
Sahabat-sahabat terus berasa ingin tahu dan mereka bertanya lagi, “Ya Rasulullah,bagaimanakah cara hidup orang-orang zaman itu.”
“  Mereka hidup bagaikan ulat kecil yang berada di dalam cuka,” Jawan Nabi
“ Ya Rasul, jadi bagaimanakah mereka dapat memelihara agama?” Desak para Sahabat
Nabi menjawab, ‘’Ibarat memegang api yang membara. Apabila api itu diletakkan, ia padam dan apabila dipegang tentu ia membakar dirimu.
Para sahabat terdiam. Mereka membayangkan keadaan di akhir zaman yang mengerikan kerana ramai mengamalkan bidaah dan membuang sunnah Rasulullah. Hidup mereka penuh dengan nafsu syahwat dengan kkeserakahan sehingga mereka menghalalkan segala cara untuk mencapai tujuan. Para sahabat membayangkan ppula betapa mulianya orang-orang akhir zaman yang masih memegang teguh ajaran agama tanpa mempedulikan kkeadaan di sekelilingnya. 


 Harap-harap semua para blogger dan pembaca dapat memahami apa yang cuba disampaikan...InshaAllah, bertemu lagi kita dalam lain lembaran...sekian dan Assalamualaikum...