Saturday 29 June 2013

Persiapan Ramadhan ^^

Assalaamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad, Wa ‘Ala Ali Sayidina Muhammad.

Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (ramadhan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa. – (Q.S Al Baqarah: 183)

Sahabat rahimakumullah, Ramadhan yang kita nanti-nantikan selama ini akhirnya hendak berada di kemuncaknya. Alhamdulillah, bersama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT mempertemukan kita dengan bulan Ramadhan (bulan yang mulia rahmat berlimpah lagi pahala dilipatgandakan), insyaAllah. Berpuasa adalah aktiviti terpenting dalam bulan ini. Persoalannya, bagaimanakah tips-tips yang diajar oleh Rasulullah SAW untuk puasa kita dinilai tinggi oleh Allah? Mari kita telusuri satu persatu. 

Rasulullah SAW Bersahur:-

Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk bersahur sebelum aktiviti menahan diri dari makan dan minum di siang hari dimulakan. Bagaimana Rasulullah SAW bersahur? Bersahur bukanlah dilakukan di tengah malam, tetapi ia dilakukan di awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Bersahur juga memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa. Rasulullah SAW bersabda:

Dari Anas Bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan.” - (HR: Bukhari)

Rasulullah SAW juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari ciri-ciri bersahur orang Islam. Sabdanya:

“Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur.” - (HR: Muslim)

Rasulullah SAW Menyegerakan Berbuka:-

Tidak melewat-lewatkan berbuka puasa adalah salah satu tips berpuasa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Hal ini demikian kerana, perbuatan itu sangat mendatangkan kebaikan untuk mereka yang menahan diri dari makan dan minum.

Rasulullah SAW di dalam hadithnya menerangkan kepada kita seperti mana yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim:

“Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa.”

Perbuatan melambat-lambatkan berbuka puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah SAW. Masyarakat kita sering melihat perkara ini sebagai satu isu remeh. Apa yang terjadi dalam rata-rata masyarakat kita di Malaysia, ketika masuknya waktu solat maghrib (waktu untuk berbuka puasa), mereka masih lagi berada di bazaar-bazaar ramadhan untuk membeli juadah mereka. Penjual juga masih lagi melayan pelanggan tanpa terus berbuka walaupun azan maghrib telah berkumandang. Ibu-ibu di rumah pula masih berada di dapur menyiapkan juadah berbuka puasa ketika azan maghrib bergema. Hal Ini demikian kerana melewat-lewatkan berbuka puasa adalah amalan Yahudi dan Kristian.

Persiapan seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan Rasulullah SAW untuk kebaikan umatnya dapat diamalkan sebaiknya. Rasulullah SAW telah bersabda dalam satu hadithnya yang diriwayatkan oleh Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani RH: 

“Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, hal ini demikian kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya.”

Dikeluarkan dari Musannaf Abdul Razzak dan Fathul Bari (kitab syarah sahih Bukhari) ‘Amr Bin Maimun RH berkata: 

“Sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah manusia yang paling cepat (ketika) berbuka puasa dan yang paling lewat (ketika) bersahur.”

Dari Abi ‘Atiyyah katanya: Aku dan Masruq telah bertemu Ummu al-Mu’minin RA dan kami berkata kepadanya, “Dua orang lelaki dari sahabat Muhammad SAW, salah seorang darinya mempercepatkan berbuka dan mempercepatkan solat, manakala seorang lagi melewatkan berbuka dan melewatkan bersolat.” Ummu al-Mu’minin berkata, “Siapakah di antara mereka berdua yang mempercepatkan berbuka dan menyegerakan bersolat?” Kami berkata, “Abullah iaitu Ibn Mas’ud.” Kata (Ummu al-Mu’minin), “Perbuatan (menyegerakan berbuka) itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.”

Berbuka Dengan Beberapa Biji Kurma:-

Antara kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW adalah memulakan memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Ini untuk memudahkan dirinya bersolat dalam keadaan tidak terlalu kenyang. Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi katanya:

“Rasulullah SAW apabila Baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dengan kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air.”

Ini adalah sunnah Rasulullah SAW. Ramai di antara kita yang sering meninggalkan sunnah ini. Mereka menyegerakan berbuka puasa serta makan dan minum sehingga kekenyangan lalu melewatkan bersolat maghrib. Rasulullah SAW makan dengan beberapa biji kurma, kemudian bersolat. Apabila Rasulullah SAW berasa lapar, Rasulullah SAW makan selepas Baginda solat.

Tidur Qailulah:-

Nabi SAW mengajarkan kepada kita agar sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat pada malamnya. Antara kaedah yang diajar oleh Rasulullah SAW adalah dengan tidur sebentar sebelum solat zohor, perbuatan itu dinamakan dengan Qailulah. Ini untuk memudahkan kita bangun di waktu malam mengerjakan amal ibadat.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:

Dari Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam.”

Apa yang terjadi hari ini pada sesetengah masyarakat kita, mereka tidak menerapkan sunnah ini bahkan perbuatan mereka menyalahi sunnah ini. Mereka terutama anak-anak muda menghabiskan waktu siangnya dengan tidur sepanjang hari dan hanya bangun untuk berbuka puasa sahaja. Berpuasa bukanlah bulan tidur kerana keletihan. Puasa adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana padanya pahala dilipatgandakan.

Menjaga Lidah:-

Terlalu rugi jika kita berpuasa, tetapi tidak mendapat sedikit pun pahala dari amalan tersebut. Akibatnya, kita hanya mendapat lapar dan dahaga. Antara faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana tidak menjaga lidah. Mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha juga dilakukan ketika berpuasa.

Umumnya perbuatan ini adalah perbuatan haram untuk dilakukan walaupun bukan pada bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Tabarani:

“Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala).”

Rasulullah SAW bersabda lagi dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

“Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata "Saya berpuasa".”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi sepertimana yang diriwayatkan oleh Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie & Ibn Majah:

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak menghentikan percakapan dusta dan terus melakukannya, maka Allah SWT tidak mempunyai hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan minumnya.”

Memberi Makan Orang Yang Berpuasa:-

Antara amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW untuk meningkat neraca kita adalah dengan cara menginfakkan sedikit harta dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa. Terlalu besar ganjarannya seperti yang diberitahu Rasulullah SAW dalam hadith-hadith Baginda yang mulia. Antaranya ialah seperti yang diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Ibn Majah:

“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun daripadanya.”

Bagi mereka yang dijemput untuk berbuka puasa bersama, wajib baginya untuk memenuhi undangan tersebut. Ha ini demikian kerana, berbuatan membelakangi undangan tersebut dicela oleh Rasulullah SAW dan ianya seoalah-olah telah menentang Rasulullah SAW.

Adalah sunnah mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa. Antara doa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW adalah seperti berikut:

§  Ya Allah, berilah makan orang yang memberiku makan, dan berilah minum orang yang memberiku minum. - (HR: Muslim)
§  Ya Allah, ampunkanlah mereka, rahmatilah mereka dan berkatilah apa yang telah kau rezekikan kepada mereka. - (HR: Muslim)

Berdoa Ketika Berbuka Puasa:-

Nabi SAW memberitahu kepada kita bahawa berdoa ketika berbuka puasa adalah mustajab berdasarkan hadith-hadith sahih yang warid dari Baginda SAW. Kita disyorkan untuk berdoa apa sahaja yang kita ingini ketika menunggu waktu tersebut. Rasulullah SAW bersabda seperti yang diriwayatkan Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban:

“Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi.”

Rasulullah SAW juga mengajarkan cara berdoa ketika berbuka puasa. Berikut adalah doa yang baik untuk dibacakan oleh kita sebagai memenuhi tuntutan ittiba’ al-Sunnah. Imam al-Darulqutni menilai sanad hadith ini sebagai hasan. Doa tersebut adalah:

“Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.”

Marilah sama-sama kita berpuasa sepertimana puasanya Rasulullah SAW dan para sahabat yang mulia. Semoga puasa kita pada tahun ini mampu mengubah dimensi hidup kita yang bercerminkan sunnah Rasulullah SAW dalam beribadat. Tunaikanlah zakat dan perbanyakkanlah membaca al-Quran, berzikir dan berselawat, nasihat menasihati serta berdakwah untuk Islam. Jadikan Ramadhan kali ini penuh makna untuk diri kita dan masyarakat.

Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban. Dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan, aamiin ya Allah.

Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad, Wa ‘Ala Ali Sayidina Muhammad.

Wallahu ‘Alam.

Thursday 20 June 2013

Remaja...


Assalamualaikum….
Allahuma Solli’ Ala Sayidina Muhamad

“Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah (Fahishah) suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”  (Surah Al-Isra, ayat 32)

                Berdasarkan firman Allah diatas, zina merupakan suatu dosa yang sangat besar dan keji serta seburuk-buruk jalan yang ditempuh oleh seseorang. Menurut Ibn Kathir dalam tafsirannya arahan ini bermaksud “Jangalah kamu mendekati apa-apa jua perkara atau pentebab yang berkaitan dengan zina  kerana ia akan mendorong kepada perlakuannya.

                Antara punca yang mendorong perlakuan zina ialah pergaulan bebas, menonton video lucah yang menaikkan nafsu syahwat dan sebagainya. Fahishah menurut ahli bahasa ialah perbuatan maksiat yang sangat buruk lagi hina.  Dalam ayat ini, zina disifatkan sebagai seburuk-buruk jalan kerana menyebabkan orang yang melakukanya masuk ke dalam neraka.

                Semasa peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan keadaan lelaki dan perempuan yang dihadapan mereka diletakkan sebiji piring berisi daging yang membangkitakan selera manakala sebiji piring berisi daging busuk. Mereka lebih gemar memakan daging busuk tersebut dan langsung tidak memakan daging yang elok tersebut. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail bahawa mereka tergolong dalam kalangan orang suka berzina.

                Menurut al-Qurtubi, zina memberikan impak yang negatif. Antaranya ialah muncul rasa permusuhan kerana si penzina dipandang sebagai musuh oleh kaum kerabat wanita itu, tersebarnya pelbagai penyakit berbahaya dan memudaratkan umat manusia dan berlaku kekeliruan dalam nasab keturunan.

                Katakanlah wahai hamba-Ku yang mealampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( Surah Al-Zumar, ayat 53).

Sebanyak mana pun dosa yang dilakukan oleh kita, jika kita benar-benar insaf akan kesalahan kita dan bertaubat nasuha, nescaya Allah akan menerima taubat kita.

                Biasanya, zina bermula daripada mata dan kemudian jatuh ke hati. Apabila sudah jatuh ke hati, itu alamat cinta sudah mula berputik. Dan jika tidak ditapis dengan iman, si pencinta boleh terjebak dalam kancah zina. Salah satu cara untuk mengelakkan zina ialah memotivasikan diri. Bercintalah dengan sahabat sendiri( sesama jantina). Biasakan diri dengan berdoa dan bergaullah dengan alim dan ulama.

                Setakat ini saja perkongsian untuk kali ini. InshaAllah, sekiranya diberikan peluang untuk berjuang di medan dakwah ini, kita akan bertemu lagi di lain lembaran. Sebelum menutup perkongsian kali ini. bersama-samalah kita memperbetulkan niat kita. Jangan semua perbuatan yang kita lakukan hanya untuk meraih pujian ataupun sanjungan daripada manusia, sebaliknya berniat kerana Allah.


~Allahuma Solli ‘Ala  Sayidina Muhamad~

Sunday 16 June 2013

Apa Itu Mujahadah ( Mujahid/ Mujahidah ) ?

Assalaamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad, Wa ‘Ala Ali Sayidina Muhammad,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi kesempatan kepada saya untuk mencoretkan sesuatu di laman ini pada malam ini. Harapan saya semoga sahabat semua sentiasa sihat wal’afiat dan berbahagia bersama keluaraga/orang tersayang.

Bismillahirahmanirrahim, apa itu Mujahadah ?

Mujahadah ialah salah satu istilah yang sering kita jumpa dalam pengajian ilmu tasawwuf atau akhlak. Perkataan “mujahadah” berasal daripada perkataan“jihad”, yang bererti usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredai Allah.

Ia juga membawa pengertian penentangan (perlawanan) terhadap anasir-anasir yang hendak merosakkan negara dan lain-lain seperti hawa nafsu, diktator, kezaliman dan sebagainya.
Dalam ilmu tasawwuf, mujahadah lebih menitikberatkan kepada usaha melawan hawa nafsu secara bersungguh-sungguh untuk mencapai reda Allah. Orang yang bermujahadah dipanggil Mujahid/ Mujahidah.

Al Marhum Said Hawwa dalam kitabnya, menyebut rukun mujahadah ada empat iaitu pertama memencilkan diri, kedua diam, ketiga berlapar dan keeempat berjaga malam.


1. Memencilkan Diri (Al Uzlah)

Apa yang dimaksudkan dengan al-uzlah di sini ialah memencilkan diri daripada segala kekufuran, kemunafikan dan pembuat kejahatan, termasuk menjauhkan diri daripada majlis yang mempersendakan ayat-ayat Allah.

“Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah, dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku". - (Q.S Maryam:48)

Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu). - (Q.S Al An’am:68)

Walau bagiamanpun uzlah ini bukanlah berpanjangan sepanjang masa. Ianya merupakan ubat hati untuk melawan sifat mazmumah. Sekiranya hati sudah terubat dan tidak terikut kepada kejahatan maka hendaklah dizahirkan kebenaran di hadapan kebathilan sebagaimana hadis Nabi SAW:

“Tetap akan ada dalam kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak akan terhina dengan penghinaan yang dilemparkan kepada mereka..”.

2. Berdiam (As Somt)

Orang tua-tua ada berkata “Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa”. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, “ Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata perkataan yang baik ataupun dia diam”.

As somt yang dikehendaki di sini ialah menjaga lidah daripada daerah dosa dan lagha seperti mengumpat, mencaci, mengadu domba, bertengkar, memaki hamun, bercakap perkara yang sia-sia dan sebagainya.
Sekiranya kedaan memerlukan kita untuk bercakap atau bersuara, seperti amar makruf nahi mungkar, mengajar manusia tentang Islam, maka ketika itu berdiam adalah haram. Diam adalah wasilah untuk mencapai reda Allah. Ianya bukanlah matlamat dalam kehidupan kita.

3. Berlapar (Al Ju’)

Hukum asal dalam soal makan minum ialah makan untuk menguatkan tubuh badan supaya dapat mengerjakan suruhan Allah. Membazir dan berlebihan adalah dilarang.

Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. - (Q.S Al A’raf:31)

Orang yang sentiasa berlapar akan dikurniai kejernihan hati dan hikmah. Lapar akan melemahkan hawa nafsu untuk mengerjakan kejahatan. Di antara rukun Islam ialah berpuasa. Puasa disifatkan oleh Nabi SAW sebagai pendinding diri daripada mengerjakan sesuatu yang dilarang. Sabda Nabi SAW:

Wahai para pemuda! Barangsiapa yang mampu berkahwin, maka kahwinlah. Sesungguhnya dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah pendinding”.

4. Berjaga Malam (As Sahr)

Islam mengajar umatnya supaya pandai mengurus dan membahagikan masa. Sekiranya kita tidak pandai mengurus masa tidur, maka ianya boleh menyebabkan kita mengalami kerugian yang besar. Kita berkemungkinan tidak dapat solat subuh berjamaah, beristighfar pada waktu fajar, solat tahajjud dan solat isyak berjamaah.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air, Sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Di dunia mereka sedikit sekali tidur diwaktu malam. Dan selalu memohonkan keampunan pada waktu pagi sebelum fajar.“ - (Q.S Az Zariyat:15–18)

“Hai orang yang berselimut (Muhammad), Bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua itu. dan Bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak). Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.” - (Q.S Al Muzzammil:1–8)

Wallahu ‘Alam ~

p/s: Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad, Wa ‘Ala Ali Sayidina Muhammad.

Ilalliqa’ ~

Saturday 8 June 2013

Aku, Dia Dan Sahabat (Bahagian Akhir)

“ Juhair, aku nampak si Dia tadi. Aku tengok macam dia mahu mendaftar masuk Tingkatan Enam ja.” Aku tersentak dengan kenyataan yang disampaikan oleh Furqan sebentar tadi. Terdetik di hatiku bahawa Furqan tidak main-main dengan Aku. Aku kenal sangat dengan Furqan. Dia seorang yang serius, terutamanya kalau diberikan amanah. Fahim pun mengatakan perkara yang sama kepada Aku. Masakan mereka berdua mahu mengenakan Aku pula. Seingat Aku, Si Dia pernah berkata yang Dia tidak dibenarkan masuk Tingkatan Enam kerana ibubapanya tidak membenarkan. “Nah, angau la c Juhair balik. Jaga-jagalah kita semua..ehehe”, Muslim cuba menyakat Aku pula. “ Merepek ja kerjamu. Sudah aku delete dia dalam hati ku ni, masuk recyle bin lagi.” Aku cuba mempertahankan diriku. “Ek’eleh…boleh di restore bah balik kalau masuk recyle bin.” Giliran Mukmin pula yang menyakat Aku. “Makin dilayan, makin menjadi-jadi tau kamu dua ni.” Selepas Aku berkata begitu, tiba-tiba Aku, Furqan, Fahim, Mukmin dan Muslim tergelak besar. “ Aina, sejak bila geng Imam Muda ni pandai buat bising”, tegur seorang sahabat muslimah dikelasku. Kami hanya mampu tersenyum tetapi senyumku bukan disebabkan teguran mereka, tetapi terkenang Si Dia yang bakal memasuki sekolah kami semula. Setelah beberapa bulan kami tidak bertemu.

            Entah kenapa perasaan marah, kecewa dan sakit hati digantikan dengan perasaan gembira dan teruja sebaik sahaja mendengar  berita mengenai kemasukan Si Dia untuk belajar di Tingkatan Enam Bawah. Sukar untuk digambarkan betapa gembiranya Aku dapat bertemu sekali lagi dengan Dia.  Nur pun pernah bertanya kepadaku, adakah Dia akan memasuk Tingkatan Enam. Sambil tersenyum aku berkata, “ tak tau la Nur, bukan Aku jaga dia pun.” Nur cuma tersenyum bila mendengar jawapan yang Aku berikan.  Apa yang pasti Aku gembira dia masuk tingkatan Enam..:)

            “Shahz, macam mana dengan pendaftaran Tingkatan Enam di sekolah kamu.? Ramaikah yang mendaftar.?” Soalku kepada Shahz. “ Bolehlah, ramai lah juga…dalam lingkungan 60-70 orang begitu.” Jawap Shahz.  “Shahz..si Dia masuk tingkatan Enam juga..aku dapat tahu dari si  Furqan,” Sekali lagi aku memulakan perbualan di antara Aku dan Shahz setelah beberapa ketika suasana senyap. “ Bah..betul bah..? Ada juga kau jumpa Dia..?”  Shahz bertanya pula kepadaku. “ Eya bah..betul la, takkanlah aku mau tipu kau. Tapi tiada pula aku jumpa dia masa pendaftaran, kan masa pendaftaran, kami ada kelas.” Shahz tersenyum mendengar jawapan yang aku berikan. Tepat pukul 9.00 malam, Aku dan Shahz pun balik ke rumah masing-masing.

            Entah kenapa, sejak beberapa hari ini, Aku asyik memikirkan Si Dia. Aku takut perkara yang lama akan berulang kembali. Berperang dengan perasaan sendiri, bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi perasaan itu hadir kerana diri yang alpa ini menjemputnnya. Lantas tangan ini dengan cepat menyambar telefon  yang berada disampingku. Aku perlu meminta nasihat daripada sahabat-sahabatku yang lain. Namun Aku terfikir, siapakah yang masih bangun tengah-tengah malam ini. Pasti ramai sahabatku yang telah pergi mengembara di Alam Mimpi. Entah kenapa tiba-tiba aku terfikir untuk mencari dua orang sahabatku yang mungkin berada di laman sosial. “Mungkin ada di antara mereka berdua yang belum tidur lagi.” Aku berbicara dengan diri sendiri. Selepas dapat mengakses ke laman sosial tersebut, iaitu Facebook , Aku mula mencari nama mereka berdua, Shahz dan Ayubi. Hampa. Nampak mereka pun tidak online juga. Mungkin sudah menyertai sahabat-sahabatku yang lain, mengembara di Alam Mimpi. Jam di dinding menunjukkan pukul 1 pagi. Ketika aku hendak logout  daripada facebook , tiba Ayubi menyapa aku. Di saat itu, Aku bersyukur sangat, masih ada lagi sahabatku yang masih belum tidur.

“ Assalamualaikum bang Juhair.?”

“Wa’alaikumusalam Ayubi. Belum tidur lagi.?”

“emm..belum lagi Bang, baru habis menghias blog tadi. Nampak Abang online ..teringin pula mahu mengacau…ehehe.”

“ Memang kalau budak kecil, kuat bermain..ahaha”

“ Eyalah tu Bang. Abang ni kenapa belum tidur lagi.?”

“ Emm, Abang tengah fikirkan sesuatu ni. Sejak dari pagi lagi. Ehehe..”

“ Ek’eleh, beranganlah. Sudah-sudahlah bang oi, perkara lama usah dikenang lagi, nanti luka lama berdarah kembali. Ahahaha.”

“Cakap memanglah senang, tapi yang merasakannya, Abang sendiri.”

“ Abang, Ayubi bukan apa, tapi Abang masih ingat lagikah janji apa yang dulu. Berusaha untuk memperbaiki diri. Cuba untuk mendapatkan Cinta Allah dan RasulNya. Abang cakap hidup ini untuk mencari redhaNya..”

“Betullah, tapi macam mana Abang mahu hilangkan hilangkan perasaan ini. Abang takut, lama-kelamaan akan menjadi zina hati pula. Abang takut perasaan rindu terhadap Si Dia akan melebihi rasa rindu abang terhadap Allah dan Rasulullah.”

“ Abang, perasaan tu siapa yang anugerahkan.? Allah kan.? Jadi dengan siapa kita patut curahkan rasa cinta dan rindu kita.? Tentulah kepada Sang Khaliq dan Rasulullah. Tidak salah kalau kita cinta dan rindu kepada makhluk ciptaanNya, tapi jangan sampai melebih rasa cinta dan rindu kita kepada Allah dan Rasulullah.”

“Betul apa yang Ayubi cakapkan. Abang terlalu memikirkan perasaan Abang sendiri tanpa disandarkan kepada Allah dan Rasulullah. Emm, Ayubi rasa apa yang Abang patut buat sekarang.?”

“ Abang pergi ambil wuduk dan cuba solat sunat, minta petunjuk dengan Allah. Lepas tu, jangan fikirkan lagi pasal Si Dia, buang masa jer…ehehe”

“Bah, betul cakap Ayubi. Oklah, tengah malam sudah ni. inshaALLAH, kalau panjang umur, kita chat lagi, assalamualaikum.”

“okok, Wa’alaikumusalam.”

            Perbualan dengan Ayubi, banyak menyedarkan Aku. Meskipun usia kami berbeza empat tahun, tapi caranya berfikir seolah-olah lebih dewasa dari Aku.

  
“Rela aku pendamkan
Impian yang tersimpan
Menganggu keasyikan  
gusar keindahannya
Merampas rasa cinta
 Pada DIA yang lebih sempurna”

            Lirik lagu ini menguatkan lagi tekadku untuk memburu cinta yang abadi. Cinta kepada manusia kadangkala dapat melalai insan yang berusaha untuk meraih cintaNya. Sememangnya bukan mudah untuk mendapatkan cinta dari Sang Khaliq, seandainya diri masih lagi dibelenggu oleh nikmat dunia yang bersifat sementara ini. Tetapi setiap manusia pasti akan dapat merasainya betapa manisnya sekiranya memperoleh Cinta daripada ALLAH dan RasulNya.

            “ Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia menjadikan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada demikian itu benar-benar  terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” Surah Al-Rum ayat 21.

            Ingatlah pada janji Allah. DIA telah menjanjikan setiapa manusia yang tercipta pasti mempunyai pasangan sendiri. Tidak perlu tergesa-gesa untuk mencarinya, cepat atau lambat, yang pasti satu hari nanti, orang yang telah ditakdirkan menjadi pasangan kita pasti akan muncul.

            Sekarang, apa yang pasti, tujuan utamaku hanya untuk mencari redhaNya. Lagipun, Aku masih mempunyai ramai lagi orang yang selama ini berada dekat denganku. Keluarga dan Sahabat-sahabatku. Mereka sentiasa berada disampingku ketika susah dan senang. Kalau cerita pasal keluarga, mereka memang sentiasa berada dekat denganku, tapi bukan semua masalah dapat aku ceritakan dengan mereka. Sebab itulah ALLAH hadiahkan Aku dengan beberapa orang sahabat yang terlalu baik kepada Aku.

            Mukmin, Shahz, Zul, Muslim, Fik, Ayubi, Furqan,Nadz, Boy, Nur, dan Zahra. Merekalah yang berada di saat Aku jatuh. Mereka telah membantu Aku untuk berdiri semula. Mereka jugalah yang menyedarkan Aku. Sungguh, aku berasa bertuah memiliki mereka.  Hanya Allah yang tahu betapa Aku menyayangi dan mencintai mereka. Sekarang, Aku pasti, cintaku terhadap sahabat-sahabatku melebih cintaku kepada Si Dia yang pernah membuat Aku rebah. Bagiku, cukuplah dengan mencintai mereka semua, sudah membuat aku gembira.


(TAMAT…?)

Saturday 1 June 2013

Apa Itu Sunnah Nabi SAW ?

Assalaamualaikum wbt,
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad,

Bismillahirahmanirrahim,

Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasul-Nya, dan orang-orang yang memegang kekuasaan antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka hendaklah kamu kembalikan kepada Allah dan rasul,  jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih baik dan sebaik-baik jalan."(Surah An Nisa’:59)

"Kembalikan kepada Allah dan rasul" yang dinyatakan oleh-Nya dalam ayat tersebut jelas merujuk kepada al-Quran dan sunnah. Justeru, tidak dapat tidak, manusia tidak hanya perlu bergantung kepada kitab Allah, tetapi juga sunnah Rasulullah SAW yang mempunyai pengaruh amat besar dalam perluasan pembinaan hukum Islam.

PENGERTIAN SUNNAH

As sunnah mempunyai pelbagai pengertian yang dilihat berdasarkan kaca mata banyak pihak. Walau bagaimanapun, setiap definisi yang diberikan kelihatan tidak banyak bezanya antara satu sama lain.
Dalam buku berjudul Pedoman Muslim terjemahan daripada Minhaajush Shaalihin, ahli hadis melihat sunnah sebagai sesuatu peninggalan Rasulullah sama ada dalam bentuk perkataan, ketetapan mahupun sifat-sifat jasmani atau budi pekerti serta sejarah hidup – sebelum dan sesudah kenabian baginda diangkat Allah.

Sementara bagi ahli usul, as sunnah merupakan sesuatu yg dinukilkan daripada Nabi Muhammad SAW. Ini boleh jadi membabitkan perkataan, perbuatan mahupun ketetapan. Contoh yang melibatkan perkataan ialah sesuatu yang disabdakan oleh baginda dalam pelbagai bentuk yang berhubung dengan pembinaan hukum. Perbuatan pula adalah seperti perlakuan Rasulullah SAW dalam urusan ibadah seperti solat.
Menurut istilah fikah, as sunnah merupakan sesuatu yang tetap (sah) daripada baginda. Ia bukan fardu dan tidak wajib. Menurut sebahagian daripada ahli fukaha, sunnah adalah mutlak atas sesuatu yang berlawanan dengan bidaah.

PERANAN SUNNAH DALAM KEHIDUPAN

Sebagai hamba Allah, al-Quran wajib dijadikan panduan hidup. Begitulah juga keadaannya dengan sunnah. Abu Abdillah Hakim mentakhrijkan daripada Ibnu Abbas, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :
"Sesungguhnya syaitan telah putus asa untuk menjadi sembahan di bumimu, tetapi ia senang untuk ditaati selain disembah daripada perbuatan-perbuatanmu yang merendahkan kamu, maka berhati-hatilah. Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepadamu selama kamu bepegangan dengannya maka kamu tidak akan sesat selamanya iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah nabi-Nya."

Hadis merupakan sunnah Rasulullah SAW. Dalam Islam, ia termasuk dalam dalil bagi menentukan hukum serta peraturan agama selain al-Quran. Ia terbahagi kepada dua bahagian. Yang pertama berperanan penting dalam menjelaskan maksud al-Quran. Sementara yang kedua pula menghuraikan hukum-hukum yang tidak dinyatakan oleh Allah dalam kitab-Nya.
Ini sesuai dengan dua firman Allah dalam surah An Nahl ayat 44 yang bermaksud :
"Kami turunkan kepadamu (Muhammad) akan Quran supaya engkau jelaskan kepada manusia apa yang diturunkan (Quran) kepada mereka."  
Dan surah An Nisa' ayat 59 yang bermaksud:
"Hai orang beriman! Ikut olehmu akan perintah Allah dan ikut olehmu akan perintah rasul."
Walau bagaimanapun, agak menyedihkan apabila tidak semua daripada sunnah baginda dilaksanakan dalam kehidupan kita. Dan tambah menyayat hati apabila wujud segelintir pihak yang memesongkan sunnah Rasulullah SAW dengan memutar belitkan hadis.

PERINGKAT HADIS

Terdapat beberapa peringkat hadis iaitu sahih, hasan dan daif.
Hadis sahih merupakan hadis yang sanadnya bersambung dengan riwayat orang adil yang memiliki ingatan kuat (dhabith). Selain itu, hadis tersebut turut selamat daripada unsur-unsur penyimpangan dan illat (penyakit). Hadis sahih tidak terkumpul secara mutlak dalam satu kitab hadis.
Bagi hadis hasan pula, perawinya ringan iaitu tidak kukuh hafalannya berbanding hafalan orang yang dhabith.
Sementara hadis daif adalah hadis yang tidak melengkapi syarat-syarat hadis sahih dan hasan. Terdapat tiga jenis hadis daif iaitu daif (lemah), amat daif (sangat lemah) dan hadis maudhu' (palsu).

SUNNAH SEBAGAI SUATU HIKMAH

Sunnah Rasulullah amat istimewa kerana ia merupakan suatu hikmah.
Allah berfirman dalam kitabnya yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah telah memberikan kurnia bagi orang-orang yang beriman, ketika dia telah mengutuskan seorang rasul kepada mereka antara mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka dan membersihkan mereka (dari sifat-sifat yang jahat) lagi mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu dalam kesesatan yang nyata." (Ali Imran:164)
Berdasarkan ayat tersebut, kebanyakan ulama dan penyelidik berpendapat, hikmah yang  dimaksudkan ialah sesuatu yang diperlihatkan oleh Allah kepada baginda daripada rahsia agama dan hukum syariat-Nya. Mereka memanggilnya sebagai sunnah.

Justeru, selaku umat Muhammad SAW, Muslim hari ini tidak wajar mensia-siakan sunnah peninggalan baginda. Mengabaikannya tidak lebih daripada suatu kerugian.

Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad,

Wallahu ‘Alam.