Assalaamualaikum
wbt,
Allahumma
Solli ‘Ala Sayidina Muhammad,
Bismillahirahmanirrahim,
Hai
orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasul-Nya, dan
orang-orang yang memegang kekuasaan antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan
pendapat tentang sesuatu, maka hendaklah kamu kembalikan kepada Allah dan
rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang
demikian itu lebih baik dan sebaik-baik jalan."(Surah
An Nisa’:59)
"Kembalikan kepada Allah dan
rasul" yang dinyatakan oleh-Nya dalam
ayat tersebut jelas merujuk kepada al-Quran dan sunnah. Justeru, tidak dapat
tidak, manusia tidak hanya perlu bergantung kepada kitab Allah, tetapi juga
sunnah Rasulullah SAW yang mempunyai pengaruh amat besar dalam perluasan
pembinaan hukum Islam.
PENGERTIAN SUNNAH
As sunnah mempunyai pelbagai pengertian
yang dilihat berdasarkan kaca mata banyak pihak. Walau bagaimanapun, setiap
definisi yang diberikan kelihatan tidak banyak bezanya antara satu sama lain.
Dalam buku berjudul Pedoman Muslim
terjemahan daripada Minhaajush Shaalihin, ahli hadis melihat sunnah sebagai
sesuatu peninggalan Rasulullah sama ada dalam bentuk perkataan, ketetapan
mahupun sifat-sifat jasmani atau budi pekerti serta sejarah hidup – sebelum dan
sesudah kenabian baginda diangkat Allah.
Sementara bagi ahli usul, as sunnah
merupakan sesuatu yg dinukilkan daripada Nabi Muhammad SAW. Ini boleh jadi
membabitkan perkataan, perbuatan mahupun ketetapan. Contoh yang melibatkan
perkataan ialah sesuatu yang disabdakan oleh baginda dalam pelbagai bentuk yang
berhubung dengan pembinaan hukum. Perbuatan pula adalah seperti perlakuan
Rasulullah SAW dalam urusan ibadah seperti solat.
Menurut istilah fikah, as sunnah
merupakan sesuatu yang tetap (sah) daripada baginda. Ia bukan fardu dan tidak
wajib. Menurut sebahagian daripada ahli fukaha, sunnah adalah mutlak atas
sesuatu yang berlawanan dengan bidaah.
PERANAN SUNNAH DALAM KEHIDUPAN
Sebagai hamba Allah, al-Quran wajib
dijadikan panduan hidup. Begitulah juga keadaannya dengan sunnah. Abu Abdillah
Hakim mentakhrijkan daripada Ibnu Abbas, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :
"Sesungguhnya syaitan telah putus asa untuk menjadi sembahan di bumimu,
tetapi ia senang untuk ditaati selain disembah daripada perbuatan-perbuatanmu
yang merendahkan kamu, maka berhati-hatilah. Sesungguhnya aku telah
meninggalkan kepadamu selama kamu bepegangan dengannya maka kamu tidak akan
sesat selamanya iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah nabi-Nya."
Hadis merupakan sunnah Rasulullah SAW.
Dalam Islam, ia termasuk dalam dalil bagi menentukan hukum serta peraturan
agama selain al-Quran. Ia terbahagi kepada dua bahagian. Yang pertama
berperanan penting dalam menjelaskan maksud al-Quran. Sementara yang kedua pula
menghuraikan hukum-hukum yang tidak dinyatakan oleh Allah dalam kitab-Nya.
Ini sesuai dengan dua firman Allah dalam
surah An Nahl ayat 44 yang bermaksud :
"Kami turunkan kepadamu (Muhammad) akan Quran supaya engkau jelaskan
kepada manusia apa yang diturunkan (Quran) kepada mereka."
Dan surah An Nisa' ayat 59 yang
bermaksud:
"Hai orang beriman! Ikut olehmu akan perintah Allah dan ikut olehmu akan
perintah rasul."
Walau bagaimanapun, agak menyedihkan
apabila tidak semua daripada sunnah baginda dilaksanakan dalam kehidupan kita.
Dan tambah menyayat hati apabila wujud segelintir pihak yang memesongkan sunnah
Rasulullah SAW dengan memutar belitkan hadis.
PERINGKAT HADIS
Terdapat beberapa peringkat hadis iaitu sahih,
hasan dan daif.
Hadis sahih
merupakan hadis yang sanadnya bersambung dengan riwayat orang adil yang
memiliki ingatan kuat (dhabith). Selain itu, hadis tersebut turut selamat
daripada unsur-unsur penyimpangan dan illat (penyakit). Hadis sahih tidak
terkumpul secara mutlak dalam satu kitab hadis.
Bagi hadis hasan pula, perawinya ringan
iaitu tidak kukuh hafalannya berbanding hafalan orang yang dhabith.
Sementara hadis daif adalah hadis
yang tidak melengkapi syarat-syarat hadis sahih dan hasan. Terdapat tiga jenis
hadis daif iaitu daif (lemah), amat daif (sangat lemah) dan hadis maudhu'
(palsu).
SUNNAH SEBAGAI SUATU HIKMAH
Sunnah Rasulullah amat istimewa kerana ia
merupakan suatu hikmah.
Allah berfirman dalam kitabnya yang
bermaksud :
"Sesungguhnya Allah telah memberikan kurnia bagi orang-orang yang
beriman, ketika dia telah mengutuskan seorang rasul kepada mereka antara mereka
sendiri yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka dan membersihkan mereka
(dari sifat-sifat yang jahat) lagi mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka.
Sesungguhnya mereka sebelum itu dalam kesesatan yang nyata." (Ali
Imran:164)
Berdasarkan ayat tersebut, kebanyakan
ulama dan penyelidik berpendapat, hikmah yang dimaksudkan ialah sesuatu
yang diperlihatkan oleh Allah kepada baginda daripada rahsia agama dan hukum
syariat-Nya. Mereka memanggilnya sebagai sunnah.
Justeru, selaku umat Muhammad SAW, Muslim
hari ini tidak wajar mensia-siakan sunnah peninggalan baginda. Mengabaikannya
tidak lebih daripada suatu kerugian.
Allahumma Solli ‘Ala Sayidina Muhammad,
Wallahu ‘Alam.
No comments:
Post a Comment